Produk dalam talian mula naik harga

Barangan bernilai rendah yang dijual dalam talian mula naik harga selepas kerajaan mengenakan cukai jualan 10 peratus mulai 1 Januari lalu.
Barangan bernilai rendah yang dijual dalam talian mula naik harga selepas kerajaan mengenakan cukai jualan 10 peratus mulai 1 Januari lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Pengguna di Malaysia yang membeli barangan bernilai rendah (LVG) diimport secara dalam talian mula terkesan apabila mendapati peniaga mula menaikkan harga.

Ia susulan langkah kerajaan mengenakan cukai jualan sebanyak 10 peratus bermula 1 Januari lalu, menyebabkan ada peniaga menaikkan harga barangan bagi menampung kenaikan kos yang terpaksa ditanggung.

Barangan LVG yang dikenakan cukai jualan itu merangkumi semua tidak termasuk rokok, produk tembakau, minuman keras, rokok elektronik dan penyediaan sejenis yang digunakan untuk merokok serta dijual pada harga tidak melebihi RM500 yang dibawa masuk ke Malaysia melalui jalan darat, laut atau udara.

Tinjauan Sinar Harian di platform jualan dalam talian seperti Shopee dan Lazada mendapati banyak barangan yang dijual sudah mula naik harga.

Sarung tangan yang dibeli dari China misalnya, kini berharga RM96.80 berbanding RM88 yang dijual sebelum ini iaitu naik sebanyak RM8.80.

Alat pemasangan simen batu bata dari Indonesia pula naik RM4.09, apabila dijual pada harga RM39.59 berbanding RM35.50 sebelum ini.

Laporan Sinar Harian pada 18 Disember 2023.
Laporan Sinar Harian pada 18 Disember 2023.

Beberapa barangan lain dari China juga didapati naik harga, antaranya fon kepala berharga RM54.56 berbanding RM49.60, pengecas telefon berharga RM49.50 (sebelum RM45) dan sarung telefon RM9.13 (sebelum 8.30).

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, penganalisis politik dan sosial, Lim Sian See dalam perkongsian di Facebook berkata, sama seperti Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), Cukai Barang Nilai Rendah (LVGT) mempunyai kelemahan berbanding Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) kerana sebarang kenaikan harga barang atau jumlah nilai cukai yang dikenakan tidak diberitahu secara jelas.

Menurutnya, penjual cuma menaikkan harga barang asal sahaja untuk membayar cukai LVGT dan SST tanpa disedari atau diberitahu kepada pembeli.

“Saya sendiri juga membuat tinjauan. Memang benar banyak barang yang dibeli pada bulan Disember telah dinaikkan harga jualan pada hari ini.

“Paling ketara ialah payung yang saya beli pada harga jualan RM39.20 pada 6 Disember lalu telah naik ke RM48 melalui penjual yang sama. Secara keseluruhan termasuk pelbagai diskaun, promosi dan kos penghantaran, saya telah bayar RM31.32 pada 6 Disember lalu.

“Jika saya nak beli semula daripada penjual sama hari ini, harga keseluruhan saya perlu bayar sudah naik ke RM46.06, iaitu kenaikan 47.1 peratus,” jelasnya.

Trend pembeli dalam talian menurun

Sementara itu, pembelian produk luar negara yang dijual secara dalam talian menunjukkan trend penurunan selepas kerajaan mengenakan cukai jualan sebanyak 10 peratus ke atas barangan bernilai rendah (LGV) bermula 1 Januari lalu.

Pembekal produk kecantikan luar negara, Ika Nadhira Abd Razak, 25, berkata, langkah tersebut telah menyebabkan penjual bertindak untuk menaikkan harga bagi menampung kos jualan.

Ika Nadhira
Ika Nadhira

“Walaupun baru beberapa hari cukai jualan itu dikenakan, saya dapat perhatikan corak pembelian di platform Shopee dan TikTok semakin berkurang. Ini mungkin disebabkan orang ramai sedar bahawa ada kenaikan harga.

“Kami (peniaga) bukan sengaja nak menaikkan harga sesuka hati tetapi disebabkan mahu mengurangkan kos jualan kami terpaksa berbuat sedemikian,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Pada 16 Disember lalu, akhbar melaporkan, Malaysia akan mula mengenakan cukai jualan sebanyak 10 peratus ke atas barang bernilai rendah (LVG) yang dijual secara dalam talian mulai 1 Januari 2024.

Malaysia sepatutnya mengenakan cukai LVG sebanyak 10 peratus ke atas barangan berharga di bawah RM500 yang dijual secara dalam talian berkuat kuasa 1 April, 2023, di bawah Belanjawan 2022, tetapi telah ditangguhkan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) pada Mac tahun lalu.

Seorang lagi pembekal, Nur Haslina Hassan, 26, berkata, tidak semua barangan dijual akan mengalami peningkatan harga melainkan ia merupakan produk baharu yang diimport untuk memasuki pasaran dalam talian.

Nur Haslina
Nur Haslina

“Saya tidak akan menaikkan harga kalau produk itu masih ada pada saya. Saya tetap akan jual pada harga yang sama.

“Bagaimanapun, saya menjangkakan harga barangan yang bakal diimport meningkat disebabkan cukai jualan yang dikenakan kerajaan,” ujarnya.

Menurut Nur Haslina, bagi mengatasi isu pembeli berkurangan, dia akan mengatur strategi untuk memperbanyakkan iklan agar orang ramai tertarik untuk membuat pembelian.