JPJ keluar 312 notis saman operasi tahun baru

Mohd Azlan (dua dari kanan) memeriksa lesen penunggang motosikal.
Mohd Azlan (dua dari kanan) memeriksa lesen penunggang motosikal.
A
A
A

SEREMBAN - Sebanyak 312 notis saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan membabitkan pemeriksaan terhadap 1,390 kenderaan sempena operasi khas Ambang Tahun Baru 2020.

Operasi bersepadu yang bermula pada jam 9 malam hingga 2 pagi itu diadakan di enam lokasi di sekitar daerah ini melibatkan seramai 140 pegawai dan anggota dari JPJ, Jabatan Imigresen, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Timbalan Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Mohd Azlan Shah Othman berkata, dalam operasi berkenaan, seramai 210 pemilik kenderaan dikenakan tindakan iaitu (103) motosikal, kereta (101), kenderaan membawa muatan dan pengangkutan awam masing-masing satu serta empat lain-lain kenderaan.

“Kesalahan paling banyak dikesan membabitkan pemandu tidak memiliki lesen memandu dan LKM (Lesen Kenderaan Motor) tamat tempoh.

"Sebanyak tiga motosikal dan sebuah kereta telah disita,” katanya pada sidang media di sini tengah malam tadi.

Sekatan jalan raya sempena operasi khas Ambang Tahun Baru 2020
Sekatan jalan raya sempena operasi khas Ambang Tahun Baru 2020

Azlan berkata, dalam operasi sama seramai 18 individu termasuk dua penjawat awam ditahan AADK selepas ujian saringan air kencing mendapati mereka positif dadah.

Artikel Berkaitan:

Katanya, seramai 13 warga asing masing-masing lima warga Indonesia, Vietnam (empat), Myanmar (tiga) dan seorang India ditahan imigresen kerana tiada dokumen pengenalan diri yang sah.

Menurutnya, sebanyak 30,200 jumlah kenderaan daripada 155,709 yang diperiksa dikenakan tindakan oleh JPJ negeri sepanjang tahun lalu.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 49,343 notis saman JPJ dikeluarkan dengan peningkatan sebanyak 20 peratus notis berbanding tahun sebelumnya.

“Kesalahan melibatkan kategori pelesenan kenderaan merupakan penyumbang kesalahan paling banyak diambil tindakan yang mewakili 19,900 kes atau 34 peratus dari keseluruhan kesalahan," katanya.

Katanya, kesalahan LKM tamat tempoh menjadi kesalahan paling tinggi dilakukan iaitu 10,380 kes.