Cabaran PKR menjelang PRU16

Tahun baharu 2024 sepatutnya menjadi permulaan buat PKR melakukan persiapan rapi bagi menghadapi PRU16 .Gambar hiasan.
Tahun baharu 2024 sepatutnya menjadi permulaan buat PKR melakukan persiapan rapi bagi menghadapi PRU16 .Gambar hiasan.
A
A
A

TAHUN baharu 2024 sepatutnya menjadi permulaan buat Parti Keadilan Rakyat (PKR) melakukan persiapan rapi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum kali ke-16 (PRU16).

Rekod pencapaian PKR dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) November 2022 lalu tidak begitu memuaskan berbanding Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018.

PKR memenangi 49 kerusi Parlimen menerusi PRU14 tetapi dalam PRU15, parti itu kalah sebanyak 18 kerusi yang pernah dimenangi sebelumnya.

PKR mengalami kekalahan teruk di negeri Utara Semenanjung dan juga Pantai Timur misalnya parlimen Kangar di Perlis, Kulim Bandar Baharu, Merebok, Kuala Kedah, Padang Serai serta Alor Setar di Kedah.

Tidak termasuk Alor Setar, kesemua calon yang kalah di Kedah dan Perlis itu ialah calon Melayu PKR, mujur Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari dapat mempertahankan kerusi walaupun hanya kemenangan majoriti tipis.

Prestasi PKR juga jatuh merosot di Pulau Pinang, parti tersebut kalah buat pertama kali di kubu kuatnya di Permatang Pauh.

Bagaimanapun, Fadhlina Sidek menang di Parlimen Nibong Tebal dengan merampas kembali kerusi yang pernah dikhianati dalam episod ‘Langkah Sheraton’ pada 2020 lalu.

Mujur juga Bakhtiar dan Sim Tze Sin masing-masing berjaya mempertahankan kerusi parlimen Balik Pulau dan Bayan Baru, tetapi kekalahan Nurul Izzah iaitu anak sulung kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Permatang Pauh menjadi satu kejutan buat PKR.

Artikel Berkaitan:

Malah di Selangor, benteng PKR sejak PRU 2008 sehingga berjaya mengetuai kerajaan negeri selama tiga penggal telah menerima tamparan hebat apabila berdepan kekalahan di dua kerusi parlimen yang selama ini dianggap kebal iaitu parlimen Kuala Langat dan Kapar.

Kedua-dua kerusi berkenaan tewas kepada calon profesional iaitu ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi dan ahli Parlimen Kapar, Dr Halimah Ali daripada parti Perikatan Nasional-Pas (PN-Pas).

Namun begitu, PKR masih dapat menarik nafas lega kerana Datuk Seri Amirudin Shari berjaya merampas kembali kerusi parlimen Gombak daripada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (PN-Bersatu).

Sejak 2008, PKR telah memenangi dua kerusi parlimen di Pahang iaitu parlimen Kuantan dan Indera Mahkota malah rekod itu dapat dikekalkan pada PRU13 serta PRU14.

Tetapi, kedua-dua kerusi Parlimen tersebut tumbang kepada PN pada PRU15, kini tiada seorang pun Ahli Parlimen PKR dari Pahang yang merupakan negeri terbesar di Semenanjung Malaysia.

Rekod buruk PKR di Terengganu dan Kelantan kekal berlarutan hingga 2024, pada PRU tahun 1999, PKR yang ketika itu dinamakan sebagai Parti Keadilan Nasional (PKN) telah memenangi tiga kerusi Parlimen di Kelantan iaitu di parlimen Kota Bharu, Ketereh serta Tanah Merah.

Terdapat dua faktor utama kemenangan tersebut iaitu akibat berlakunya kebangkitan reformasi bermula pada akhir tahun 1998 ketika Anwar dizalimi dan dipenjarakan selain sokongan Pas waktu itu terhadap calon PKN.

Calon PKN yang menang di Kota Bharu ialah Ramli Ibrahim, Muhammad Mustapha di Ketereh manakala Saufi Daud di Tanah Merah.

Di Terengganu pula, PKN pernah memenangi parlimen Kemaman dalam PRU tahun sama yang mana calonnya ialah Abdul Rahman Yusof, tetapi menerusi PRU15 lepas, PKR kalah di semua kerusi dipertandingkan di dua negeri Pantai Timur itu.

Trend merosot sokongan terhadap PKR kini merebak ke negeri di selatan Semenanjung, contohnya Melaka apabila kerusi parlimen Tangga Batu yang PKR menangi dalam PRU14 tewas di tangan calon PN-Pas, namun nasib agak baik bila mana parlimen Hang Tuah Jaya dapat dipertahankan oleh Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abd Halim.

Di Sabah dan Sarawak juga mencatatkan rekod buruk apabila PKR tewas di parlimen Ranau, Putatan serta Tawau yang pernah dimenangi pada PRU14, namun Mustaffa Sakmud berjaya merampas kerusi parlimen Sepanggar menerusi Parti Warisan (Warisan).

Begitu juga dengan prestasi PKR di Sarawak dalam PRU15 bila mana kalah di parlimen Selangau, Saratok dan Puncak Borneo, ketiga-tiga kawasan terbabit tumbang kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Bagaimanapun, PKR bernasib baik di Negeri Sembilan kerana secara relatifnya dapat mempertahankan kerusi parlimen Port Dickson meskipun disebabkan faktor calon bertanding iaitu Menteri Besarnya, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Hanya di Johor, PKR dapat mengekalkan kekuatannya dengan mempertahankan kesemua tujuh kerusi parlimen yang pernah dimenangi pada PRU14.

Dalam PRU15, PKR di Johor berjaya memenangi kawasan Segamat, Ledang, Sekijang, Batu Pahat, Johor Bahru, Tebrau, Pasir Gudang dan mampu merampas kembali tiga kerusi parlimen yang dikhianati dalam ‘Langkah Sheraton’ seperti Segamat, Batu Pahat serta Tebrau.

Namun percubaan PKR untuk merampas parlimen Sembrong dan Tenggara masih gagal.

Persoalannya, apakah yang patut PKR lakukan?

Ada tiga perkara yang wajar PKR lakukan untuk kembali kuat sepertimana Presidennya, Anwar kini memegang jawatan sebagai Perdana Menteri di negara ini.

Pertama, PKR wajib merampas kembali semua kerusi parlimen yang telah tewas dalam PRU15, biarpun senarainya agak panjang dari Kangar, Perlis hingga ke Tawau, Sabah dan Puncak Borneo, Sarawak.

Kedua, kesemua calon yang berpotensi, berkaliber dan berpengalaman seperti Nurul Izzah perlu mengetuai usaha untuk menawan semula kerusi parlimen yang telah kalah itu.

Jika Nurul Izzah yang mempunyai watak kepimpinan karismatik seperti Benanzir Bhutto dan Megawati Sukarnoputeri berjaya dalam misi tersebut, maka tidak syak lagi beliau memiliki ciri-ciri seorang Perdana Menteri (‘Prime Minister material) serta bakal muncul kembali sebagai pemimpin masa depan PKR.

Ketiga, pemimpin utama PKR sekarang seperti Timbalan Presiden, Rafizi Ramli dan Naib Presiden, Nik Nazmi Nik Ahmad perlu mencontohi Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub sebagai Ketua Pemuda dan Naib Presiden Pas yang suatu masa dahulu pernah menang di kerusi parlimen Kubang Kerian, Kelantan iaitu kubu kuat Pas pada 2008.

Tetapi, Salahuddin mengambil cabaran dengan pulang ke Johor pada PRU13 dan beliau sanggup meninggalkan kerusi selamat di Kubang Kerian itu untuk bertanding di parlimen Pulai.

Walaupun Salahuddin kalah dalam pilihan raya tersebut, tetapi beliau tidak lari sebaliknya terus berkubu di parlimen Pulai.

Akhirnya pada PRU14 dan PRU15, Salahudin menang di parlimen Pulai, apabila beliau meninggal dunia pada 2023 satu pilihan raya kecil (PRK) diadakan menyaksikan Suhaizan Kaiat dari Parti Amanah Negara (Amanah) telah mencapai kemenangan di kawasan tersebut.

Justeru, moral ceritanya ialah Rafizi perlu berani mengambil cabaran untuk kembali bertanding di Terengganu yang merupakan negeri asalnya dan wajar diingatkan bahawa PKR pernah menang di parlimen Kemaman pada PRU 1999.

Nik Nazmi juga perlu berani mengambil risiko untuk pulang ke negeri asalnya di Kelantan bagi memimpin medan perang pilihan raya dengan kesedaran bahawa pada 1999, tiga kerusi Parlimen Kota Bahru, Ketereh dan Tanah Merah telah dimenangi PKR.

Kesimpulannya, PKR wajib sedar akan satu realiti politik, sekarang Anwar menjadi ketua Pakatan Harapan (PH) dan ketua Kerajaan Perpaduan kerana beliau sekurang-kurangnya memiliki 31 kerusi parlimen dari PKR.

Sekiranya PKR tidak bersedia dengan strategi ampuh untuk memenangi PRU16 akan datang, ada kemungkinan kerusi PKR bakal hilang 50 peratus dan ia mungkin hanya memiliki sekitar 15 kerusi termasuk parlimen Tambun.

Jika senario seperti itu benar-benar berlaku ketika Anwar masih sihat, idealistik, bersemangat tinggi serta mempunyai perancangan dan komitmen rapi untuk dilaksanakan demi rakyat serta negara, tetapi memiliki lebih kurang 15 kerusi parlimen sahaja, adakah parti politik lain masih sudi untuk memilih beliau menjadi Perdana Menteri bagi penggal keduanya?

Inilah yang perlu direnungkan.

*Tulisan Ahli Parlimen Pasir Gudang (PKR-PH), Hassan Abdul Karim.