Tinggal satu PPS masih beroperasi di Segamat

Gambar hiasan - Bernama
Gambar hiasan - Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sebuah daripada dua pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Segamat ditutup hari ini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), dalam satu kenyataan memaklumkan PPS Kompleks Dewan Komuniti Kampung Tasek, Jementah, yang menempatkan 13 orang mangsa daripada tiga keluarga dari Kampung Seberang Batu Badak, sebelum ini, telah ditutup pada jam 5 petang tadi.

"Penutupan tersebut menjadikan hanya satu PPS sahaja yang masih beroperasi di Segamat iaitu Balai Raya Kampung Batu Badak.

"Jumlah keseluruhan mangsa yang masih ditempatkan di PPS berkenaan adalah seramai 25 orang daripada lapan keluarga," katanya.

Setakat jam 4 petang tadi, JPBN berkata, menerusi pemantauan cuaca yang dilakukan ia mendapati Daerah Pontian, Johor Bahru, Batu Pahat dan Kota Tinggi mengalami hujan manakala cuaca mendung di Segamat dan Kluang.

Sementara itu, Muar, Mersing, Tangkak dan Kulai pula dilaporkan cerah, kata jawatankuasa itu. - Bernama

Artikel Berkaitan: