Kerajaan Madani berjaya buktikan mampu bersatu, fokus kepada rakyat - Fahmi

Hantaran Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil di laman Facebook pada malam Ahad.
Hantaran Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil di laman Facebook pada malam Ahad.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Meskipun sepanjang tempoh 2023 pelbagai cerita rekaan dan mitos cuba dimainkan pihak tertentu termasuk kononnya Kerajaan Madani tidak akan stabil serta bergaduh sesama sendiri namun ia berjaya membuktikan mampu bersatu menjalankan tugas selain fokus dalam usaha membantu rakyat.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, atas kekuatan serta kestabilan daripada kesepaduan itu, Kerajaan Madani berjaya merangka lima dasar yang cukup bersejarah untuk rakyat dan negara pada tahun ini.

Beliau berkata, ia termasuk rangka Ekonomi Madani yang telah menaikkan ekonomi negara dan rakyat selain Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030) yang berupaya menarik pelaburan serta meningkatkan peluang pekerjaan baharu bergaji tinggi dengan fokus ditumpukan kepada industri penting.

"Pada masa sama, kerajaan mengkaji semula gaji penjawat awam dan usaha ini dilakukan untuk meningkatkan lagi produktiviti penjawat awam. Selain itu, kerajaan berusaha meningkatkan gaji pekerja swasta seluruh Malaysia menerusi pengenalan Dasar Gaji Progresif.

"Pada 2023, kerajaan turut memperkenal Dasar Peralihan Tenaga berikutan terdapat keperluan mendesak untuk negara beralih ke sumber tenaga baharu,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook malam Ahad.

Di peringkat kementerian, Fahmi berkata, beliau bersyukur kerana berjaya melaksanakan pelbagai inisiatif baharu termasuk menurunkan harga Internet selain membawa semua syarikat telekomunikasi ke meja rundingan yang membolehkan mereka bersetuju menawarkan perkhidmatan 5G.

"Selain itu, tempat yang selalu menghadapi masalah Internet seperti kampung Orang Asli serta kawasan pedalaman dapat menggunakan Starlink manakala gaji pengurus dan penolong pengurus Pusat Ekonomi Digital di seluruh negara dinaikkan RM500 sebulan,” katanya.

Beliau berkata, pada 2023 juga, peluang pekerjaan baharu untuk anak muda dalam sektor ekonomi digital meningkat 23 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Artikel Berkaitan:

Fahmi juga berharap permulaan yang baik untuk Kerajaan Madani pada 2023 dapat diteruskan dan mendoakan agar tahun 2024 lebih baik buat semua.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching dalam ucapan yang turut dimuat naik di laman Facebook pula berharap pada tahun baharu ini, segala impian dan cita-cita akan tercapai serta dipenuhi dengan hal-hal yang baik. - Bernama