Tulisan jawi: Tindakan kompaun, tiada lagi kompromi

Abdul Rahim
Abdul Rahim
A
A
A

KUANTAN - Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Pahang akan mengenakan kompaun terhadap pemilik premis perniagaan di Pahang yang gagal memasang papan tanda bertulisan jawi.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Abdul Rahim Muda berkata, tiada lagi kompromi kepada peniaga yang enggan mematuhi arahan yang berkuat kuasa hari ini.

"Mereka sudah diberikan tempoh setahun dan tamat semalam. Bagi kesalahan pertama kompaun dikenakan RM250 manakala bagi kesalahan kedua, lesen perniagaan dibatalkan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Penguatkuasaan tulisan jawi dilaksanakan susulan titah Yang di-Pertuan Agong, Al- Sultan Abdullah Riayatuddin Al Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Ahmad Shah pada 13 November 2018 bagi memartabatkan semula tulisan itu yang semakin terpinggir.

Abdul Rahim berkata, PBT daerah lain di seluruh negeri sudah menggerakkan usaha pendidikan di premis perniagaan di kawasan mereka sebelum kompaun dikenakan.

Beliau berkata, setiap tindakan dibuat berdasarkan peruntukan undang-undang PBT di Pahang.

"Ini sebagai bukti kerajaan Pahang amat serius dalam isu ini," katanya.

Artikel Berkaitan: