'Harap baiki segera jalan'

Penduduk Kampung Janggut Seberang terpaksa melalui kebun penduduk untuk ke Kampung Janggut dan bandar Jeli.
Penduduk Kampung Janggut Seberang terpaksa melalui kebun penduduk untuk ke Kampung Janggut dan bandar Jeli.
A
A
A

JELI - Penduduk di Kampung Janggut Seberang berharap pihak berkuasa menyegerakan pembaikan jalan utama yang yang menghubungkan mereka ke Kampung Janggut dan bandar Jeli serta sekitarnya.

Tinjauan Sinar Harian di kawasan berkenaan mendapati berlaku dua runtuhan namun yang terbaru lebih besar dan tidak boleh dilalui kenderaan.

Berkongsi kejadian yang berlaku, penduduk Kampung Janggut Seberang, Amran Mohd Zelan, 37, berkata, hujan lebat menyebabkan kawasan rumahnya dinaiki air kira-kira jam 5 petang dan dia mengambil keputusan mengalihkan kenderaan keluar dari kampung itu.

Amran bagaimanapun tidak menyangka sebaik sahaja melepasi kawasan berkenaan, ada retakan kecil di jalan itu.

Amran melihat runtuhan jalan dari arah Kampung Janggut.
Amran melihat runtuhan jalan dari arah Kampung Janggut.

"Saya memberitahu rakan-rakan sekampung supaya mengalihkan kenderaan mereka tetapi hanya sempat 10 kenderaan sahaja melepasi laluan itu sebelum runtuh sepenuhnya," katanya.

Jelasnya lagi, keputusan memindahkan kenderaan ke Kampung Janggut memudahkan mereka berulang-alik ke ke tempat kerja.

Menurut Amran, buat masa ini hanya penduduk lelaki sahaja yang keluar membeli barangan keperluan harian melalui kebun penduduk.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun katanya, sukar untuk melalui kawasan itu yang dipenuhi akar pokok selain kawasan bertanah licin.

"Buat masa ini kami mengharapkan pembinaan laluan alternatif untuk motosikal sahaja supaya penduduk dapat bergerak jika terputus bekalan makanan," katanya.

Sebelum ini tular maklumat daripada Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Balah yang memaklumkan hampir 50 keluarga terputus hubungan dan perkara itu sudah dalam perhatian pihak berkaitan.

Keadaan jalan kampung yang menghubungkan Kampung Janggut Seberang dan Kampung Janggut.
Keadaan jalan kampung yang menghubungkan Kampung Janggut Seberang dan Kampung Janggut.

Sementara itu, calon Sijil Pelajaran Malaysia, Muhammad Irwan Abdul Mutalib, 18, merancang akan meletakkan motosikalnya di kawasan Kampung Janggut bagi memudahkannya berulang-alik ke sekolah bagi menduduki peperiksaan yang bermula 8 Januari ini.

Anak ketiga daripada empat beradik itu memberitahu, lebih 10 rakan sekampungnya yang akan menduduki peperiksaan itu dan mungkin berdepan masalah terutama musim hujan.

"Jalan runtuh ini berada kira-kira satu kilometer dari rumah saya dan buat masa ini saya membantu ibu keluar membeli barangan keperluan harian seperti telur dan gula tetapi dalam kuantiti sedikit kerana sukar membawanya melalui jalan kebun," katanya.

Difahamkan, pihak berkuasa termasuk anggota keselamatan kini bertungkus-lumus memantau penduduk dan akan mengambil tindakan segera.