Takaful Malaysia umum dividen 14 sen sesaham

Takaful Malaysia - Foto: Bernama
Takaful Malaysia - Foto: Bernama
A
A
A

SYARIKAT Takaful Malaysia Keluarga Bhd mengisytiharkan dividen interim satu peringkat sebanyak 14.00 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 yang akan dibayar pada 2 Februari 2024.

Jumlah pembayaran dividen adalah sebanyak RM117.22 juta bagi tahun kewangan berkenaan, katanya dalam satu kenyataan.​

Dividen yang diisytiharkan itu diterjemahkan kepada hasil dividen sebanyak 3.8 peratus berdasarkan harga penutup saham kumpulan sebanyak RM3.70 sesaham pada 28 Disember 2023.

"Dividen yang diisytiharkan mencerminkan kekuatan kewangan, pandangan positif dan komitmen kami terhadap pulangan pemegang saham dan membuktikan keyakinan kami terhadap keupayaan operasi serta komitmen perniagaan dalam menyampaikan nilai kepada para pemegang saham kami," kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Nor Azman Zainal.

Beliau menjangkakan bancatakaful, perbendaharaan, manfaat pekerja dan perniagaan takaful am kumpulan itu akan terus berkembang dan menjana pertumbuhan perniagaan.

"Kami akan memanfaatkan pertumbuhan positif rakan niaga bank kami untuk mengekalkan kedudukan dalam portfolio bancatakaful, mengukuhkan perniagaan perancangan kewangan takaful keluarga dan seterusnya menembusi pasaran runcit,” tambah beliau. - Bernama

Artikel Berkaitan: