'Apa dosa Nadia diperlakukan begitu' - Bapa

Keadaan Nadia yang cedera parah selepas disimbah asid (kiri), Tangan Nadia turut melecur terkena asid.
Keadaan Nadia yang cedera parah selepas disimbah asid (kiri), Tangan Nadia turut melecur terkena asid.
A
A
A

KUALA LUMPUR - "Apa dosa anak saya sehingga sanggup anda merosakkan masa depannya? Saya sangat terkilan dengan apa yang berlaku terhadap Nadia".

Demikian luah Azman Shah Mohammad, 43, terhadap apa yang berlaku ke atas anak gadisnya, Nadia Fasha Qistina, 19, apabila cedera parah disimbah asid.

Nadia mengalami kecederaan serius kerana disimbah asid ketika pulang dari kerja di Denai Alam, Shah Alam, Selangor pada 8 November lalu.

Nadia yang kini mendapat rawatan di Hospital Sungai Buloh.
Nadia yang kini mendapat rawatan di Hospital Sungai Buloh.

Akibat kejadian tidak berperikemanusiaan itu, Nadia sehingga kini terpaksa menerima rawatan penuh di Hospital Sungai Buloh.

Azman berkata, anaknya itu sudah hampir dua bulan menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh, selain menjalani lapan kali pembedahan bagi memulihkan tisu kulit serta menyelamatkan matanya.

"Selepas menyimbah asid kepada Nadia, lelaki tersebut telah bertindak melarikan diri dan membiarkan anak saya menahan kesakitan.

"Akibat kejadian itu, Nadia mengalami kecederaan teruk di muka dan badan serta kaki, sehingga terpaksa menjalani lapan kali pembedahan," katanya penuh sayu kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Nadia (dua dari kanan) bersama ahli keluarga.
Nadia (dua dari kanan) bersama ahli keluarga.

Beliau berkata, dia sekeluarga sama sekali tidak menyangka kejadian malang itu menimpa anak kesayangannya.

Menurutnya, ketika kejadian berlaku, Nadia baru enam hari bekerja di sebuah klinik di Denai Alam.

Katanya, Nadia disimbah asid oleh seorang lelaki yang menyamar sebagai pekerja e-hailing.

"Bukan saya tidak reda dengan apa yang berlaku, tetapi saya sangat terkilan kenapa ada pihak yang sanggup melakukan perkara seumpama ini kepada anak saya.

"Nadia seorang anak yang baik dan mendengar kata. Namun saya tak pasti kenapa Nadia diperlakukan sebegini rupa," ujarnya.

Bagi menjalani pembedahan dan rawatan susulan di Hospital Sungai Buloh, Azman berkata, dia terpaksa menanggung kos perubatan yang agak besar.

Kata beliau, dia perlu membayar sekeping tisu kulit berharga mencecah RM4,000 bagi proses pembedahan Nadia.

Jelasnya, modal sebanyak RM32,000 telah dikeluarkan bagi menampung membeli lapan keping tisu kulit bagi proses pembedahan sehingga kini.

Azman yang bekerja sebagai peniaga burger berkata, selain itu setiap minggu dia juga perlu membayar RM1,600 untuk membeli bactrigas yang berfungsi seperti pembalut.

Katanya, semua kos itu perlu dibeli sendiri bagi proses pembedahan kulit Nadia.

"Sehingga kini saya sudah menghabiskan semua wang simpanan.

"Doktor juga memaklumkan anak saya kemungkinan akan tinggal di hospital ini selama setahun dan perlu bergantung kepada ubat-ubatan seumur hidupnya," katanya.

Selain itu Azman berkata, isterinya juga jatuh sakit dan mengalami masalah serangan panik selepas kejadian itu.

Jelasnya, isterinya itu kini turut dirawat di hospital sama bersama Nadia.

"Saya amat berharap polis dapat segera menahan pelakunya yang mana saya difahamkan suspek seperti diupah seseorang.

"Anak saya baru bekerja enam hari jadi belum mencarum dengan Perkeso malah tidak mempunyai insurans perlindungan diri," ujarnya.

Sehubungan itu, orang ramai yang ingin membantu keluarga ini boleh menyalurkan sumbangan di akaun Bank CIMB 7026639538 atas nama Azman Shah Mohammad.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim mengesahkan kejadian itu dan siasatan masih dijalankan.