Bapa didakwa amang seksual anak kandung

Tertuduh tidak dibenarkan ikat jamin di atas kedua-dua pertuduhan amang seksual terhadapnya.
Tertuduh tidak dibenarkan ikat jamin di atas kedua-dua pertuduhan amang seksual terhadapnya.
A
A
A

BUTTERWORTH - Seorang penyelia mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini terhadap dua pertuduhan melakukan amang seksual terhadap anak perempuan kandungnya.

Tertuduh yang berusia 40 tahun itu membuat pengakuan tersebut di hadapan Majistret Siti Zulaikha Nordin @ Ghani setelah pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual terhadap mangsa yang berusia 15 tahun di sebuah rumah di Bandar Tasek Mutiara, Simpang Ampat pada jam 12 tengah hari, 22 September lalu.

Sementara pertuduhan kedua, tertuduh yang merupakan bapa kandung mangsa didakwa melakukan amang seksual terhadap mangsa di rumah sama pada jam 3 petang, 13 Disember lalu.

Oleh demikian, tertuduh dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14(b) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Syafiq Nasrullah Saleem Ali manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tertuduh mengaku tidak bersalah di atas kedua-dua pertuduhan terhadapnya.
Tertuduh mengaku tidak bersalah di atas kedua-dua pertuduhan terhadapnya.

Mohammad Syafiq memohon mahkamah tidak memberi jaminan terhadap tertuduh kerana kesalahan tersebut adalah tidak boleh dijamin selain melibatkan anak kandung tertuduh.

Artikel Berkaitan:

"Saya mohon mahkamah tidak memberi jaminan kepada tertuduh kerana mengambil faktor mangsa merupakan anak kandungnya selain tertuduh mempunyai dua pertuduhan di bawah Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

"Selain itu, saya dimaklumkan bahawa mangsa tinggal bersama tertuduh sebelum ini, namun tidak pasti keadaan itu (sama ada masih tinggal bersama atau tidak) ketika ini," katanya.

Tertuduh ketika diberi peluang membuat rayuan berkata, dia mempunyai tanggungan yang ramai dan meminta mahkamah memberi jaminan yang rendah kepadanya.

"Saya perlu menanggung dua orang anak berusia 15 dan lima tahun, isteri dan ibu yang menghidap kanser. Saya bekerja sebagai penyelia dan pendapatan hanya RM3,000 sebulan.

"Oleh itu, saya minta budi bicara mahkamah untuk memberi jaminan yang minima," katanya.

Siti Zulaikha kemudiannya tidak membenarkan tertuduh diikat jamin.

Kes ditangguh sehingga 30 Januari depan untuk lantikan peguam dan serahan dokumen.