Pelabuhan Utara: 60 Tahun kecemerlangan

A
A
A

Pemandangan dermaga dan fasiliti yang pesat di Pelabuhan Utara pada hari ini.
Pemandangan dermaga dan fasiliti yang pesat di Pelabuhan Utara pada hari ini.

Memulakan perjalanan merentasi masa dengan Northport (Malaysia) Berhad atau lebih dikenali sebagai Northport, ia memperingati peristiwa penting selama 60 tahun yang menyaksikan perkembangan pesat terminal Pelabuhan Utara yang dikendalikan Northport berjaya membentuk landskap maritim Malaysia.

Bermula pada tahun 1901 dengan nama Port Swettenham, sebuah pelabuhan kecil muara sungai yang kemudian dinamakan Pelabuhan Klang pada tahun 1972 telah ditadbir oleh Malayan Railways Ltd semasa pemerintahan British.

Pelabuhan kecil tersebut, yang dikenali sebagai Southpoint pada hari ini, muncul sebagai pintu masuk utama penting negara ini dengan pelbagai kegiatan perdagangan yang meliputi perkhidmatan kargo konvensional untuk pukal kering, kargo am dan cecair.

Selepas perang dunia kedua, khususnya pada awal tahun 1950-an, aktiviti perdagangan telah melonjak dengan pesat dan mencapai pencapaian yang belum pernah berlaku sebelumnya apabila pelabuhan ini mengendalikan operasi satu juta tan kargo, sekali gus membuka jalan kepada pembinaan kemudahan pelabuhan baharu di Pelabuhan Klang.

Hasil daripada perkembangan tersebut, pada Januari 1960, kontrak pembinaan telah ditandatangani untuk memulakan kerja-kerja kejuruteraan untuk dermaga Selat Klang Utara (kemudian dinamakan semula kepada Pelabuhan Utara pada tahun 1967).

Langkah strategik ini mengukuhkan komitmen kerajaan untuk menyediakan perkhidmatan pengurusan pelabuhan yang cekap dan bertaraf dunia.

Artikel Berkaitan:

Selepas tiga tahun pembinaan, pada 27 Disember 1963, Yang di-Pertuan Agong Tuanku Syed Harun Putra Syed Hassan Jamalullail ketika itu telah merasmikan dermaga Selat Klang Utara.

Sejak dari saat itu, perjalanan Pelabuhan Utara telah menyumbang kepada landskap baharu ekonomi negara dan ekosistem perdagangan global.

Pemandangan udara dermaga Selat Klang Utara pada tahun 1963 (sebelum dinamakan sebagai Pelabuhan Utara pada tahun 1967) .
Pemandangan udara dermaga Selat Klang Utara pada tahun 1963 (sebelum dinamakan sebagai Pelabuhan Utara pada tahun 1967) .

Selama enam dekad, Pelabuhan Utara telah menyaksikan peristiwa penting dalam industri maritim Malaysia. Malah, pelabuhan ini pernah menjadi menjadi tuan rumah kapal kontena generasi ketiga pertama di dunia, MV Tokyo Bay pada 5 Ogos 1973, menandakan permulaan era kontena di Malaysia.

Kisah kejayaan

Kisah kejayaan itu diteruskan dengan penubuhan Klang Container Terminal (KCT) pada 17 Mac 1986 sebagai perintis inisiatif penswastaan pelabuhan di Malaysia. Kemudiannya KCT telah dijenamakan semula sebagai Northport pada tahun 2000.

Kejayaan KCT menetapkan penanda aras bagi penswastaan pelabuhan di Malaysia dan meletakkan negara sebagai sebuah peneraju dalam penswastaan pelabuhan di Asia.

Pada Januari 2016, Northport telah diambil alih oleh MMC Corporation Berhad, sekali gus telah membuka lembaran baharu untuk terminal pelabuhan itu.

Reinventing Northport

Inisiatif Mencipta Semula Northport atau dikenali sebagai Reinventing Northport telah dilancarkan pada tahun 2016 bagi mencapai sasaran baharu setiap tahun di samping berusaha untuk menjadi pelabuhan yang lebih selamat, lebih hijau, lebih pintar dan lebih baik.

No Image Caption

Sejak tujuh tahun dilaksanakan, inisiatif Reinventing Northport itu telah berhasil menjadikan Northport mencapai kejayaan yang mengagumkan, bukan sahaja dalam sejarah pelabuhan di Malaysia, bahkan di rantau ASEAN serta antarabangsa.

Northport merupakan pelabuhan pertama di Malaysia yang melaksanakan sistem pemantauan dron litar tertutup bersepadu sejak 1 Mei 2019 bagi pengawasan dan pemantauan keselamatan di sekitar kawasan pelabuhan.

Pada masa sama, Northport turut mendapat pensijilan Sistem Pengurusan Anti Rasuah ISO 37001:2016 daripada SIRIM QAS International Sdn. Bhd pada 23 Disember 2020 selain berjaya memecahkan rekod pengendalian kontena tahunan dengan 3,324,364 TEU pada 2021.

Selain itu, Northport berjaya menjadi pelabuhan pertama di Malaysia dianugerahkan pensijilan ISO 45001:2018 untuk Pengurusan Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan pada 14 April 2019.

Anugerah dan pencapaian

Pembangunan Northport dalam persaingan landskap perdagangan global berhasil apabila menerima Anugerah International Association of Ports and Harbors (IAPH) Sustainability Award 2022 bagi kategori Kesihatan, Keselamatan dan Sekuriti sempena Persidangan Pelabuhan Dunia IAPH 2022 di Vancouver, Kanada pada 17 Mei 2022.

Malah, pelabuhan ini turut meraih tiga Anugerah Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan 2020/2021 pada 11 November 2022 termasuklah berjaya mengendalikan kargo konvensional tertinggi pada jumlah 11,115,670 FWT (Freight Weight Tonnes) pada tahun 2022.

Selain itu, Northport turut menerima Anugerah Emas sempena Majlis Anugerah Integriti, Tadbir Urus dan Anti Rasuah (AIGA) 2022 yang diadakan pada Januari 2023.

No Image Caption

Northport turut berkembang di peringkat antarabangsa dengan meraih International Safety Award (Merit) dari British Safety Council di London pada 19 Mei 2023.

Northport juga telah diumumkan sebagai penerima Anugerah Perdana Penarafan Bintang Sasaran Penting (APSBC) di bawah kategori Sasaran Penting Keutamaan II pada 16 November 2023.

Sepanjang enam dekad yang lalu, Pelabuhan Utara bukan sahaja mengharungi peredaran masa tetapi turut berjaya menunjukkan daya tahan yang ekstrem, kebolehsesuaian serta kebolehpercayaan dalam menghadapi cabaran industri pelabuhan yang terus dinamik.

Info mengenai Northport

- Syarikat di bawah MMC Port Holdings Sdn Bhd (MMC Ports), penyedia perkhidmatan logistik bersepadu terbesar di Malaysia.

- MMC Ports adalah anak syarikat milik penuh MMC Corporation Berhad, sebuah kumpulan utiliti dan infrastruktur terkemuka yang menjalankan pelbagai perniagaan di bawah empat bahagian iaitu Pelabuhan & Logistik, Tenaga & Utiliti, Kejuruteraan serta Pembangunan Industri.

- Northport menawarkan kemudahan dan perkhidmatan khusus untuk mengendalikan pelbagai jenis kargo dari kontena hingga kenderaan, kargo pukal pecah serta kargo pukal cair dan kering dari semua jenis dan saiz penghantaran.

Antara kejayaan dan pencapaian 60 tahun Pelabuhan Utara:

- Anugerah Perdana Penarafan Bintang Sasaran Penting (APBSP) 2023 kategori Sasaran Penting Keutamaan lI.

- Anugerah International Safety Awards (Merit) dari British Safety Council pada 2023.

- Anugerah International Association of Ports and Harbors (IAPH) 2022 Sustainability Award, kategori Kesihatan, Keselamatan dan Sekuriti. Pelabuhan Malaysia pertama yang menerima anugerah berprestij ini daripada IAPH.

- Anugerah Pengurusan Keselamatan Pelabuhan Terbaik dari Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) pada tahun 2021.

- Northport merupakan pemenang kategori Emas - Anugerah Integriti, Governans dan Anti Rasuah (AIGA) 2022.

- Anugerah Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NOSH) 2020/2021 dalam kategori Perkhidmatan Perniagaan, Mentor-Mentee dan Ketua Pegawai Eksekutif Sektor Swasta.

- Anugerah NOSH 2019 dalam kategori Perkhidmatan Perniagaan.

- Dinobatkan Pelabuhan Terbaik Malaysia-Anugerah Prestasi Cemerlang yang disampaikan oleh Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) selama dua tahun berturut-turut sempena Minggu Maritim Dunia Malaysia 2016 dan 2017.

- Pelabuhan pertama di Malaysia yang dianugerahkan ISO 45001:2018 untuk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan pada 2019 dan ISO 37001:2016 untuk Sistem Pengurusan Anti-Rasuah pada 2021.