Refleksi hujung tahun 2023

Kenali kategori dosa kecil dan dosa besar, sentiasa bermuhasabah diri agar menjadi Muslim yang lebih baik

DENGAN melakukan refleksi diri dan dosa silam, ia akan membuatkan kita memasang iltizam untuk menjadi Muslim yang baik.
DENGAN melakukan refleksi diri dan dosa silam, ia akan membuatkan kita memasang iltizam untuk menjadi Muslim yang baik.
A
A
A

BERBAKI dua hari untuk kita melangkah ke tahun 2024. Sudah sampai masanya kita sedar dan melakukan audit terhadap diri sendiri.

Mungkin kedengaran agak klise lantaran ambang tahun baharu sering dikaitkan dengan pembaharuan azam. Namun sedar atau tidak, dengan melakukan refleksi dosa silam, ia akan membuatkan kita memasang iltizam untuk menjadi Muslim yang baik.

Malah, pendekatan itu merupakan 'kunci' untuk kita mendekatkan diri kepada ALLAH SWT, menambah baik keperibadian serta keterampilan dari segi akhlak, perlakuan dan pertuturan.

Memang lumrah sifat manusia tidak sempurna. Setidak-tidaknya kita saling berpesan dengan insan sekeliling untuk menjadi Muslim yang lebih bagus dari hari ke hari.

Sinar Islam edisi kali ini mengajak pembaca mengulang kaji dan mengenal dosa kecil serta besar agar tidak kembali terjebak melakukan perkara tidak sepatutnya untuk membuka lembaran baharu pada tahun baru nanti.

Benarkah dosa kecil tidak boleh dipandang remeh kerana ia berupaya menjadi dosa besar? Bagaimana cara terbaik menghapuskan noda silam?

Menyalahi perintah ALLAH

Sinar Islam mendapatkan Pegawai Hal Ehwal Islam Kanan, Universiti Teknologi Mara Cawangan Selangor, Ustazah Noor Rashidah A Rahman.

Artikel Berkaitan:

USTAZAH NOOR RASHIDAH
USTAZAH NOOR RASHIDAH

Beliau memulakan kalamnya dengan mengupas maksud dosa menurut perspektif Islam.

Jelas beliau, dosa adalah suatu keadaan yang menyalahi perintah ALLAH SWT secara terang sama ada ia suruhan untuk melakukannya ataupun meninggalkannya.

"Ia dikelaskan kepada dua kategori iaitu dosa kecil dan besar. Dosa kecil merupakan amalan dilakukan yang dilarang oleh ALLAH, tetapi tidak disertai ugutan dan ancaman daripada-NYA, manakala dosa besar menurut Ibn Abbas, ALLAH akan akhiri dengan ancaman neraka, kemurkaan, laknat atau azab seksa.

"Imam Hassan al-Basri pula menyatakan, dosa besar adalah setiap dosa yang ALLAH nisbahkan dengan api neraka," terangnya.

Bagaimanapun, katanya, tiada huraian mahupun keterangan jelas tentang pemisahan antara dosa kecil dan besar.

Namun katanya, terdapat hadis yang memerihalkan tentang dosa yang membinasakan dan pandangan ulama berkaitan dosa-dosa besar.

Ia sebagaimana sabda Rasulullah SAW: "Jauhilah tujuh dosa yang membinasakan. Para sahabat bertanya: Wahai Rasulullah, apakah ia? Rasulullah menjawab: Syirik terhadap ALLAH, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan oleh ALLAH kecuali dengan hak, makan riba, makan harta anak yatim, lari ketika peperangan, menuduh wanita baik-baik berzina." (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

MELAKUKAN dosa itu perbuatan orang biasa, tetapi orang yang luar biasa ialah mereka yang sentiasa mengaudit diri setiap hari. Lantas segera bertaubat andai tergelincir daripada paksi agama Islam.
MELAKUKAN dosa itu perbuatan orang biasa, tetapi orang yang luar biasa ialah mereka yang sentiasa mengaudit diri setiap hari. Lantas segera bertaubat andai tergelincir daripada paksi agama Islam.

Noor Rashidah kemudian merujuk kitab Mau'izatul Mukminin iaitu ringkasan kepada kitab Ihya' Ulumuddin karya Imam al-Ghazali yang menjelaskan bahawa terdapat 17 kategori dosa besar mengikut pandangan para sahabat dan tabiin.

"Empat daripadanya melibatkan perkara terletak dalam hati iaitu menyekutukan ALLAH dengan sesuatu, berterusan mengekalkan perbuatan maksiat, berputus asa daripada rahmat ALLAH dan berasa aman daripada seksaan-NYA.

"Pada lisan juga terdapat empat perkara iaitu penyaksian dusta dan batil, menuduh orang yang mukhsan (tidak berzina) melakukan zina, melakukan perbuatan sihir dan sumpah palsu. Tiga lagi melibatkan dosa pada perut (minum minuman keras yang memabukkan, memakan harta anak yatim secara zalim dan memakan harta riba

sedangkan diri mengetahuinya).

"Kemudian ia diikuti dengan masing-masing dua berkaitan dosa pada kemaluan (zina dan liwat) dan kedua tangannya (membunuh tanpa sebab dibenarkan syarak dan mencuri); dosa kaki (melarikan diri dari medan perang) serta seluruh badannya (bersikap biadap terhadap kedua orang tua)," jelasnya.

Usah normalisasi dosa

Mungkin ada sesetengah perbuatan dosa dirasakan kecil, namun Noor Rashidah mengingatkan agar tidak menormalisasikan dosa.

Mengertilah, perbuatan itu dilarang keras dalam agama Islam walaupun apa jua alasannya. Lebih-lebih lagi jika ia jelas bertentangan dengan syarak serta dilarang ALLAH.

BUKALAH 'buku' baharu kita dengan sesuatu yang baik dan menyenangkan seiring dengan pertambahan usia memasuki tahun baharu.
BUKALAH 'buku' baharu kita dengan sesuatu yang baik dan menyenangkan seiring dengan pertambahan usia memasuki tahun baharu.

"Ketahuilah bahawa dosa yang dilakukan menjadi penyebab turunnya azab ALLAH.

"Bahkan, ia juga penyebab kepada kesempitan dalam kehidupan. Disebabkan itulah agama kita menggalakkan umatnya agar berusaha menghindari perbuatan yang menjerumuskan diri kepada kemurkaan-NYA," ujarnya.

Kepada satu soalan beliau menjelaskan, dosa kecil boleh jadi dosa besar.

Katanya, antara punca-puncanya menurut Imam al-Ghazali ialah seseorang berterusan melakukan dosa kecil, menganggap remeh akan dosa yang dilakukan, bergembira atas maksiat yang dibuat serta memandang ringan kepada tindakan tegas ALLAH terhadap perlakuan tersebut.

"Selain itu, dosa kecil berubah kepada besar apabila seseorang dengan sengaja memperlihatkan dosanya kepada umum. Sudahlah berbuat kesalahan, malah berbangga pula mempertontonkan di khalayak.

"Begitu juga dengan seorang alim yang ramai pengikut. Andai mereka melakukan dosa dan diikuti oleh pengikutnya, dosa kecil tadi boleh bertukar sebaliknya," katanya.

Sempena tahun baharu 2024 yang bakal membuka tirai Isnin ini, Noor

Rashidah mengingatkan kita agar sentiasa bermuhasabah diri dan bertaubat daripada dosa dilakukan sama ada secara sedar atau tidak.

"Melakukan dosa itu perbuatan orang biasa, tetapi orang yang luar biasa ialah mereka yang sentiasa mengaudit diri setiap hari. Lantas segera bertaubat andai tergelincir daripada paksi agama Islam,” katanya.