‘Tiada jalan pintas capai kejayaan’ - Sazali

Sazali (kiri) bersama anaknya, Hazim ketika menjalani latihan di gimnasium.
Sazali (kiri) bersama anaknya, Hazim ketika menjalani latihan di gimnasium.
A
A
A

TAHUN 2023 yang hanya berbaki beberapa hari lagi mungkin meninggalkan 1,001 kenangan buat jaguh bina badan negara, Sazali Samad.

Di sebalik pelbagai kisah suka dan duka, sudah pasti tarikh 23 September 2023 menjadi hari penuh bersejarah buat juara dunia Mr Universe 10 kali itu.

Apa tidaknya, pada hari berkenaan, Sazali yang kini sudah menjengah usia 56 tahun akhirnya ‘dibebaskan’ daripada menjalani hukuman penggantungan lapan tahun.

Mulanya, Sazali dikenakan hukuman penggantungan empat tahun mulai 22 September 2015 hingga 22 September 2019 selepas gagal ujian doping yang dijalankan Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) pada 1 September 2015.

Namun, Sazali berdepan hukuman penggantungan empat tahun lagi susulan tindakannya menyertai Kejohanan China Sports Show Fearless Bodybuilding Physique & Bikini di Shanghai pada penghujung Mei 2018.

Merujuk Perkara 10.12.1 Kod Anti-Doping Dunia, Sazali yang ketika itu masih menjalani hukuman penggantungan awal empat tahun akibat positif bahan larangan jenis Anabolic Steroid tidak dibenarkan menyertai mana-mana kejohanan oleh Kod Penandatangan (Code Signatory).

Ketika mengimbas kembali ‘sejarah hitam’ yang membelenggu dirinya dalam tempoh hukuman penggantungan lapan tahun itu, Sazali berkata, dia reda dengan ujian ALLAH.

“Bagi saya, apa yang telah berlaku itu adalah ujian ALLAH dan mungkin ada hikmahnya.

Artikel Berkaitan:

"Itu sudah menjadi sejarah dalam hidup saya kerana siapa sangka tempoh lapan tahun itu sudah berlalu.

“Sekarang sampai masanya untuk terus saya jalan ke depan... tak perlu saya menoleh ke belakang lagi.

"Apa yang berlaku sudah pun berlalu dan biarkan ia berlalu pergi.

“Jika dilihat saya adalah atlet negara yang paling lama menjalani hukuman penggantungan tetapi saya reda dengan ujian ALLAH ini,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.

Sebaik selesai menjalani hukuman penggantungan, Sazali tidak menunggu lama untuk kembali menghangatkan pentas kompetitif apabila dia menyertai Kejohanan Nabba Universe 2023 di United Kingdom (UK) pada penghujung Oktober lalu.

“Sebenarnya ini bukan soal come back (kemunculan semula) apabila saya bertanding di UK tempoh hari, tetapi ia lebih kepada menjaga kesihatan diri... itu yang lebih saya utamakan.

“Jadi apa yang saya lakukan itu sama jugalah seperti dulu-dulu (sebelum dikenakan hukuman penggantungan lapan tahun.

"Makan, minum dan pengambilan suplemen saya kena jaga untuk kesihatan.

“Malah, peminat juga nak tahu perkembangan terkini saya.

"Jadi itu sebabnya saya ‘buat badan’ semula sebelum bertanding di UK... dapatlah saya diet kira-kira dua bulan setengah sebelum kejohanan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Sazali sempat menitipkan pesanan kepada barisan atlet negara terutamanya dalam kalangan ‘orang muda’ dalam memburu kejayaan, baik di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.

“Nak berjaya dalam apa-apa bidang sekalipun, tak ada jalan pintas, kita kena berusaha dari awal lagi.

"Semuanya bergantung kepada keikhlasan diri sendiri.

“Kalau kita nak naikkan nama Malaysia, kita kena ikhlas.

"Buat sesuatu perkara itu dengan kesungguhan dan paling penting, disiplin diri sendiri harus dijaga.

“Bagi atlet-atlet muda sekarang, ibu bapa mereka selain jurulatih harus pantau dari segi pemakanan dan pengambilan suplemen.

“Begitu juga dengan anak saya, Muhd Hazim. Saya dan isteri (Hashrine Hashim) amat menitikberatkan pemakanannya termasuk suplemen yang diambil.

“Kami berharap apabila dia berjaya suatu hari nanti (sebagai atlet bina badan) adalah disebabkan pemantauan daripada kedua orang tuanya,” ujar Sazali.

Untuk rekod, Sazali memenangi gelaran Mr Universe pada 2000, 2004, 2006, 2007, 2009, 2010, 2011, 2012, 2013 dan 2014 selain menggondol Sembilan gelaran Mr Asia - 1996, 1998, 1999, 2000, 2004, 2009, 2010, 2012 dan 2014.

Malah, anak jati kelahiran Batu Pahat, Johor itu pernah dijulang sebagai Olahragawan Kebangsaan sebanyak empat kali - 2006, 2010, 2013 dan 2014, sekali gus dilabel antara atlet paling berjaya di negara ini.

Dengan limpahan kejayaan yang diraih sepanjang kariernya setakat ini, Sazali wajar diangkat sebagai antara legenda terbilang arena sukan negara terutamanya di pentas bina badan.