Arahan pertukaran pegawai kastam dibuat ikut Perintah Tetap Perjawatan

Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Anis Rizana
Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Anis Rizana
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menegaskan arahan penempatan dan pertukaran pegawai dibuat selaras dengan perintah yang dikeluarkan oleh jabatan itu menerusi Perintah Tetap Perjawatan.

Ketua Pengarah JKDM, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin @ Mohd Zainuddin berkata, dasar penempatan dan pertukaran pegawai JKDM bertarikh 10 Ogos 2023 serta kaedah pelantikan pegawai dalam perkhidmatan awam dan urusan-urusan lain berkaitan pelantikan adalah seperti dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berkuatkuasa pada 1 Januari 2022.

Selain itu, beliau berkata, ia tertakluk di bawah Pelan Antirasuah Nasional 2019-2023 di bawah objektif strategik untuk merekayasa perkhidmatan awam ke arah tadbir urus baik.

Jelasnya, perkara itu melibatkan inisiatif bagi mengukuhkan mekanisme dalam menguatkuasakan pusingan kerja secara mandatori kepada penjawat awam yang memegang jawatan sensitif.

"Objektif penempatan dan pertukaran yang dilaksanakan berupaya membantu memperkayakan dan memperluaskan tugas kepada pegawai.

"Selain itu, ia boleh menyumbang ke arah menambah serta mempelbagaikan pengalaman, pendedahan dan proses pembelajaran dalam kalangan pegawai terlibat kerana proses ini amat berguna untuk kemajuan kerjaya masing-masing," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Anis berkata, pelaksanaan penempatan dan pertukaran pegawai mampu meningkatkan produktiviti seseorang pegawai, seterusnya organisasi di tempat mereka berkhidmat.

Tambahnya, proses itu juga membolehkan pegawai melihat organisasi di mana mereka ditempatkan dari perspektif berbeza dan diharap dapat mencuba pendekatan baharu yang boleh mempertingkatkan lagi keberkesanan organisasi.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau lagi, pelaksanaan itu juga berupaya mencegah sebarang kemungkinan berlakunya penyelewengan, penyalahgunaan kuasa serta rasuah.

Sementara itu, beliau berkata, dasar pelaksanaan penempatan dan pertukaran kerajaan melibatkan pegawai yang telah berkhidmat sekurang-kurangnya tiga tahun tetapi tidak melebihi lima tahun di sesuatu jawatan yang diklasifikasikan sebagai jawatan sensitif.

Selain itu kata beliau, bagi sesuatu jawatan yang diklasifikasikan sebagai bukan sensitif, ia melibatkan penukaran pegawai yang telah berkhidmat sekurang-kurangnya tiga tahun tetapi tidak melebihi lapan tahun.

"Seseorang pegawai boleh ditukarkan sama ada atas arahan Ketua Pengarah JKDM atau atas permohonan pegawai sendiri yang dipersetujui oleh Ketua Pengarah JKDM berdasarkan kepentingan perkhidmatan tanpa terikat dengan tempoh perkhidmatan yang telah ditetapkan," ujarnya.

Menurut beliau, kesemua pertukaran yang dilaksanakan melibatkan pegawai-pegawai yang telah berkhidmat melebihi tujuh tahun di lokaliti yang sama.

Namun begitu katanya, JKDM juga memberi ruang bagi penangguhan pertukaran penempatan sementara mengikut permohonan.

Sehingga kini, kata beliau, beberapa pertukaran telah ditangguhkan atas sebab keluarga, kesihatan serta persekolahan anak-anak.

"JKDM sentiasa memberi penekanan serius kepada kebajikan warga jabatan, selaras dengan hasrat untuk mewujudkan sebuah organisasi yang efisien di bawah elemen cekap, tangkas dan integriti.

"Ia bagi menyumbang ke arah pembangunan ekonomi negara melalui kecekapan pungutan hasil kerajaan, fasilitasi perdagangan dan bekerjasama erat dengan semua pemegang taruh," ujarnya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan Kesatuan Pegawai Kastam Semenanjung Malaysia (KPKSM) memohon pihak pengurusan tertinggi kastam agar mempertimbangkan semula perintah pertukaran yang melibatkan sebilangan besar pegawai mereka.

Presidennya, Abdul Malik Mohamed Zin berkata, perintah berkenaan didakwa dikeluarkan secara drastik serta tidak mengambil kira aspek kebajikan mereka yang terlibat.