Op Tiris: 76 kes seleweng diesel ditumpaskan di Negeri Sembilan

Muhammad Zahir (kanan) ketika beramah mesra dengan tetamu yang hadir pada Majlis Apresiasi dan Libat Urus KPDN negeri pada Khamis.
Muhammad Zahir (kanan) ketika beramah mesra dengan tetamu yang hadir pada Majlis Apresiasi dan Libat Urus KPDN negeri pada Khamis.
A
A
A

SEREMBAN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan berjaya menumpaskan 76 kes penyelewengan diesel bersubsidi di negeri ini menerusi penguatkuasaan dan serbuan Op Tiris Dari Mac hingga Disember tahun ini.

Pengarah KPDN Negeri Sembilan, Muhammad Zahir Mazlan berkata, sejumlah 1,092,133 liter diesel yang dianggarkan bernilai RM2,948,760 berjaya diselamatkan daripada diseleweng oleh pihak tidak bertanggungjawab.

"Daripada jumlah kes itu, sebanyak 28 kes merupakan kes serahan agensi atau jabatan iaitu 14 kes oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM); Pasukan Polis Marin (tujuh kes); Pasukan Gerakan Am (empat kes) dan masing-masing satu kes bagi Agensi Penguatkuasaan Marin Malaysia Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan KPDN Ibu Pejabat.

Muhammad Zahir (dua dari kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada pihak terlibat ketika Majlis Apresiasi dan Libat Urus KPDN negeri pada Khamis.
Muhammad Zahir (dua dari kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada pihak terlibat ketika Majlis Apresiasi dan Libat Urus KPDN negeri pada Khamis.

"Dalam operasi itu juga, 97 individu berjaya ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya kepada pemberita sempena Majlis Apresiasi dan Libat Urus KPDN negeri di sini pada Khamis.

Sementara itu, dalam perkembangan Jualan Rahmah di negeri ini, Muhammad Zahir berkata, seramai 600,000 penduduk di negeri ini menerima manfaat daripada 300 jualan tersebut sejak dilaksanakan pada April lalu hingga hujung Disember ini.

"Program Jualan Rahmah ini dilaksanakan merangkumi 177 program di dalam premis, 100 program jualan bergerak dan lima program secara terbuka.

"Selain itu, nilai Jualan Rahmah di negeri ini pula merekodkan anggaran RM10 juta sepanjang program berlangsung," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, program tersebut dilaksanakan melalui kolaborasi dengan pemain industri sektor peruncitan bagi merancakkan ekonomi sektor peruncitan setempat selain membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat di negeri ini.