Tun Mahathir perlu disiasat dulu

Tun Mahathir, Shamsul Iskandar
Tun Mahathir, Shamsul Iskandar
A
A
A

SHAH ALAM - Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin menggesa pihak berkuasa melakukan siasatan terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurutnya, harta yang dimiliki oleh individu berpengaruh yang membawa gelaran ‘Tun’ perlu menjelaskan punca dan perolehan aset tersebut.

Jelasnya, mereka yang mempunyai gelaran kebesaran tidak sepatutnya terlepas daripada disiasat oleh pihak berkuasa.

"Sekiranya beliau mahu semua Tun disiasat, kita boleh mulakan siasatan ke atas beliau dan anak-anaknya dahulu.

“Kita juga perlu menyiasat semula kes-kes penyelewengan dana dan kerugian Perwaja Steel, projek hidroelektrik Bakun, MISC Berhad, PKFZ, Maminco serta kes melibatkan anak-anaknya seperti Kenchana Petroleum.

"Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu memulakan siasatan ke atas golongan yang memiliki gelaran Tun ini," katanya dalam satu hantaran di X pada Rabu.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Tun Mahathir bersetuju mereka yang mempunyai darjah kebesaran berpangkat ‘Tun’ juga perlu disiasat sekiranya tidak dapat menjelaskan secara terperinci bagaimana mereka memperoleh kekayaan.

Tegasnya, jika individu itu gagal membuat penerangan, aset individu tersebut perlu disita.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, bukan satu keperluan untuk memperoleh bukti dokumen berhubung salah laku mereka dan syak wasangka semata-mata tidak mencukupi.

Dalam pada itu, Iskandar berkata, setiap individu yang mempunyai gelaran kebesaran tidak berada di atas undang-undang.

“Tiada siapa yang boleh mengatasi undang-undang.

“Tun cakap siang pandang-pandang. Cakap malam, dengar -dengar. Saya yakin Tun berani disiasat,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!