Polis kesan lelaki curi iPhone di Bahau

Perbuatan suspek di rakam CCTV premis di Bahau. - Foto Facebook (Gambar kecil: Hoo Chang Hook)
Perbuatan suspek di rakam CCTV premis di Bahau. - Foto Facebook (Gambar kecil: Hoo Chang Hook)
A
A
A

JEMPOL- Polis kini giat mengesan seorang lelaki yang melarikan sebuah telefon bimbit terpakai jenis iPhone dari sebuah premis di Bahau dalam kejadian pada Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, kejadian kira-kira jam 4 petang itu berlaku ketika pengadu iaitu juru jual lelaki bekerja seorang diri didatangi suspek dengan memakai pelitup muka mahu membeli telefon bimbit jenis IPhone 11 Pro Max 256GB.

"Pengadu telah memberikan telefon terbabit kepada suspek sebelum dia bertindak melarikan telefon itu dan perbuatannya telah dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di premis tersebut.

"Berdasarkan siasatan lanjut, suspek datang seorang diri dengan berjalan kaki. Modus operandinya dia akan berpura-pura untuk membeli telefon sebelum meminta mangsa menghidupkan telefon berkenaan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Kejadian berkenaan turut dikongsi di Facebook.
Kejadian berkenaan turut dikongsi di Facebook.

Chang Hook berkata, bagaimanapun pada Ahad lepas, majikan pengadu menerima maklumat daripada rakan niaganya ada pelanggan yang menjual telefon bimbit tersebut di sebuah kedai telefon di Gemas, Tampin.

"Semakan mendapati ada satu resit jual beli pada Jumaat dikeluarkan atas telefon bimbit itu dengan harga RM1,100.

"Tiada butiran atau maklumat penjual telefon pada resit, namun telefon bimbit tersebut telah diserahkan kepada rakan kongsi yang berniaga di kedai telefon di Bahau.

Artikel Berkaitan:

"Berdasarkan CCTV kedai di Gemas itu mendapati suspek yang sama menjual telefon tersebut," katanya.

Beliau berkata, suspek disyaki berumur lingkungan 20 hingga 25 tahun, berbadan kurus dengan ketinggian lebih kurang 165 sentimeterr dan berkulit sawo matang.

"Butiran suspek masih belum dikenal pasti dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek diminta tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu melengkapkan siasatan kes yang disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan," katanya.