Pulau Pinang tempat menarik, syurga makanan

Orang ramai mengunjungi Lebuh Armeniam iaitu salah satu pusat pelancongan sempena cuti persekolahan ketika tinjauan di sini. - Foto Bernama
Orang ramai mengunjungi Lebuh Armeniam iaitu salah satu pusat pelancongan sempena cuti persekolahan ketika tinjauan di sini. - Foto Bernama
A
A
A

GEORGE TOWN - Beberapa lokasi pelancongan di Pulau Pinang terutama di bahagian pulau menjadi tumpuan orang ramai sejak Sabtu lepas berikutan cuti hujung minggu yang panjang bersempena dengan perayaan Krismas semalam.

Orang ramai terutama pelancong di dalam negara memilih negeri itu bukan hanya disebabkan oleh faktor lokasi tumpuan dan tarikan, tetapi juga pelbagai pilihan makanan yang enak terutama sekali nasi kandar.

Selain itu, tidak lengkap rasanya jika bercuti ke negeri ini tanpa mengunjungi Pesta Pulau Pinang yang sedang berlangsung penuh meriah dan acara yang tercatat dalam kalendar negeri itu saban tahun menyajikan pelbagai pengisian menarik untuk para pengunjungnya.

Seorang pengunjung Ahmad Affendi Mohd Razif, 35, berkata, dia bersama isteri dan dua anak mereka memang memilih untuk datang ke Pulau Pinang terutama di kawasan pantai di Batu Ferringhi untuk bercuti bersempena dengan cuti sekolah dan hujung tahun.

Affendi yang bekerja sebagai jurutera dan tinggal di Shah Alam, Selangor berkata selain banyak kawasan yang menarik di negeri ini, mereka sekeluarga menjadikan negeri Pulau Mutiara itu sebagai pilihan kerana telah jatuh 'cinta' dengan rasa nasi kandar.

Nasi kandar di Pulau Pinang digemari pengunjung. - Gambar hiasan
Nasi kandar di Pulau Pinang digemari pengunjung. - Gambar hiasan

"Saya pilih untuk datang bercuti ke Pulau Pinang kerana boleh memandu terus ke bahagian pulau melalui jambatan dan lokasi penginapan kami selain di bandar George Town, sudah pasti di kawasan pantai sekitar Batu Ferringhi.

"Kami boleh bermain di pantai dengan pelbagai aktiviti yang ditawarkan di sini seperti menunggang kuda, jet ski, banana boat dan pelbagai lagi dengan harga berpatutan...

"Semua ini ditawarkan oleh orang tempatan yang mencari pendapatan di sini dan secara tidak langsung saya membantu ekonomi mereka," katanya kepada Bernama pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Seorang lagi pengunjung, Nur Zahirah Zakaria, 40, berkata, Pulau Pinang mempunyai keunikan tersendiri, malah tempat-tempat pelancong juga setanding dengan lokasi percutian di luar negara.

Dia dan anak-anak katanya, paling suka Bukit Bendera kerana boleh menaiki kereta api kabel dan menikmati pemandangan yang menyeronokan ketika berada di atas bukit itu.

Bukit Bendera.
Bukit Bendera.

"Bercuti di dalam negara pun menarik contohnya macam di bahagian pulau yang dikelilingi laut dan pemandangan juga sangat cantik, harga hotel dan makanan berpatutan.

"Di sini juga syurga makanan, malah boleh dikatakan di semua tempat makan tular atau terkenal seperti kedai nasi kandar, pasembor, air tingkap, cendol dan laksa barbaris dengan orang ramai yang ingin menikmati juadah berkenaan," kata guru dari Perlis yang juga ibu tunggal itu.

Bagi Roshidah Ibrahim, 53, pula selain mahu menikmati makanan dan minum yang sedap, kunjungannya ke Pulau Pinang sudah pasti tertumpu ke Pesta Pulau Pinang yang menawarkan pelbagai aktiviti dan barangan dijual di situ.

Katanya, walaupun Pesta Pulau Pinang sentiasa menjadi tumpuan orang ramai, dia sekeluarga yang tinggal di Taiping, Perak pasti tidak akan melepaskan peluang untuk datang ke situ kerana dapat membeli-belah pelbagai produk terutama buatan negeri ini.

"Saya dari zaman muda memang tiap-tiap tahun datang ke Pesta Pulau Pinang ini, memang seronok... buat apa pergi sampai ke luar negara kalau di dalam negara pun ada macam-macam... lebih baik berbelanja di sini," katanya.

Jeti Chew di Pengkalan Weld iaitu salah satu pusat pelancongan sempena cuti persekolahan, di sini. - Foto Bernama
Jeti Chew di Pengkalan Weld iaitu salah satu pusat pelancongan sempena cuti persekolahan, di sini. - Foto Bernama

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Pulau Pinang Tony Goh berkata sepanjang musim cuti persekolahan dan musim perayaan bulan ini, tempahan hotel di negeri ini meningkat terutama yang terletak di kawasan pantai.

"Bagi hujung minggu, ada hotel di kawasan pantai yang tempahan biliknya mencecah 100 peratus dan hotel di kawasan bandar tempahannya mencapai 80 hingga 90 peratus.

”Kadar tempahan hotel yang meningkat ini satu petunjuk yang baik kepada pihak industri dan kami akan terus menjaga SOP (prosedur operasi standard) bagi memastikan kawasan persekitaran hotel bebas daripada Covid-19,” katanya. - Bernama