Beri akses pendidikan kepada anak Malaysia tanpa kewarganegaraan - Muda

Muda percaya pendidikan adalah hak asasi manusia yang tidak boleh dinafikan kepada sesiapa pun, termasuk anak-anak tanpa kewarganegaraan. Gambar hiasan
Muda percaya pendidikan adalah hak asasi manusia yang tidak boleh dinafikan kepada sesiapa pun, termasuk anak-anak tanpa kewarganegaraan. Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) menggesa kerajaan mengambil langkah proaktif bagi memastikan anak-anak Malaysia tanpa kewarganegaraan mendapat akses kepada pendidikan.

Muda berkata, ia termasuk dengan mengeluarkan dasar yang memudahkan akses ke sekolah kerajaan, memberikan latihan dan sumber kepada guru-guru serta melaksanakan program yang mempromosikan kesedaran dan inklusiviti.

Tegasnya, Muda teguh menyokong inisiatif pendidikan bagi anak-anak Malaysia tanpa kewarganegaraan, khususnya dalam konteks penubuhan Iskul Sama Dilaut Omadal dalam bahasa Bajau yang bermaksud Sekolah Bajau Laut Omadal.

“Iskul Sama Dilaut Omadal dilemparkan dengan tuduhan dan salah faham yang tidak berasas, yang menentang penubuhan dan operasi mereka di Pulau Omadal, Sabah.

“Muda dengan tegas menolak tuduhan tersebut dan menyatakan keyakinan kami terhadap usaha Iskul Sama Dilaut Omadal dalam menyediakan pendidikan kepada komuniti yang terpinggir,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menerusi sekolah komuniti Iskul Sama Dilaut Omadal yang diwujudkan pada 2015, kanak-kanak Bajau Laut yang mengikuti pendidikan formal di sekolah kerajaan akan mengajar rakan sebaya mereka yang kurang bernasib baik.

Ia kerana walaupun masyarakat Bajau Laut hidup dalam sempadan Malaysia, sebahagian besar mereka tidak mendapat taraf kerakyatan kerana kekurangan dokumentasi rasmi yang menghalang mereka daripada menerima pendidikan sempurna.

Muda berkata, pihaknya menghargai usaha Iskul Sama Dilaut Omadal dalam mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), terutamanya dalam menjamin pendidikan berkualiti dan inklusif untuk semua, tanpa mengira status kewarganegaraan.

Artikel Berkaitan:

“Muda percaya bahawa pendidikan adalah hak asasi manusia yang tidak boleh dinafikan kepada sesiapa pun, termasuk anak-anak tanpa kewarganegaraan.

“Kami menekankan pentingnya inisiatif seperti Iskul Sama DiLaut Omadal yang telah berusaha tanpa lelah dalam menyediakan pendidikan dan peluang pembangunan kepada komuniti yang terpinggir. Inisiatif ini bukan sahaja membuka pintu kepada pendidikan tetapi juga memperkasakan komuniti tempatan,” ujarnya.

Muda turut menyeru kepada semua pihak untuk bersama-sama memastikan tiada seorang pun anak Malaysia yang ditinggalkan dalam perjalanan menuju ke arah sebuah negara yang lebih inklusif dan adil.