Bursa Malaysia bercampur-campur dalam dagangan awal

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

BURSA Malaysia dibuka bercampur-campur hari ini, mengambil petunjuk daripada prestasi rendah di Wall Street dalam persekitaran suasana bercuti, kata peniaga.

Pada jam 9.06 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 2.07 kepada 1,456.45 daripada 1,454.38 pada Jumaat.

FBM KLCI dibuka rendah 0.30 mata kepada 1,454.08.

Bagaimanapun, dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 157 berbanding 126 manakala 280 kaunter tidak berubah, 1,742 tidak diniagakan dan 15 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 200.96 juta unit bernilai RM69.09 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade, Thong Pak Leng berkata, Dow Jones Industrial Average Index merosot 18 mata manakala Nasdaq menambah 29 mata dengan hasil 10 tahun Perbendaharaan Amerika Syarikat naik kepada 3.90 peratus.

"Dalam negara, sama ada indeks FBM KLCI boleh menguji paras 1,500 pada empat hari dagangan terakhir pada 2023 akan dapat dilihat.

"Untuk hari ini, kami menjangka petunjuk pasaran indeks FBM KLCI akan diniagakan dalam julat 1,450-1,460,” katanya kepada Bernama.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pak Leng gembira melihat ringgit mengukuh berbanding dolar AS, meningkat kepada paras tertinggi dalam tempoh empat bulan pada RM4.63.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank, Public Bank dan Tenaga Nasional, masing-masing menambah satu sen kepada RM8.90, RM4.26 dan RM10, CIMB meningkat lima sen kepada RM5.85 manakala Petronas Chemicals tidak berubah pada RM7.22.

Daripada saham aktif, Bina Puri susut satu sen kepada 8.5 sen dan Reneuco merosot setengah sen kepada 22 sen manakala Minetech naik satu sen kepada 14.5 sen, Iskandar Waterfront menambah tiga sen kepada 74 sen dan Ekovest meningkat 1.5 sen kepada 49.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM ACE naik 1.49 mata kepada 5,217.69, Indeks FBM Emas meningkat 8.48 mata kepada 10,828.40 dan Indeks FBMT 100 menambah 7.53 kepada 10,492.46 manakala Indeks FBM 70 merosot 19.55 mata kepada 14,597.29 dan Indeks FBM Emas Shariah susut 0.04 mata kepada 11,015.63.

Mengikut sektor, Indeks Hartanah naik 3.15 mata kepada 862.62, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan meningkat 0.25 mata kepada 173.01, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 37.30 mata kepada 16,284.39 manakala Indeks Perladangan merosot 22.37 mata kepada 7,014.08 dan Indeks Tenaga jatuh 1.24 mata kepada 817.36. - Bernama