Guru beri nasihat terhadap tindakan pelajar biadab dalam kelas online

Tangkap layar video tular di TikTok.
Tangkap layar video tular di TikTok.
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan pelajar meninggalkan komen dianggap bergurau dengan guru kelas tuisyen MCPlus yang dikenali sebagai Sir Halim mendapat perhatian pengguna media sosial apabila video tersebut tular baru-baru ini.

Menerusi perkongsian video tular dimuat naik di akaun TikTok @naufnl, komen pelajar berkenaan membuatkan guru yang mengajar subjek Sejarah dalam talian itu terkedu dan memberhentikan sesi pembelajarannya seketika.

Pelajar berkenaan mengatakan wajah Sir Halim atau lebih dikenali sebagai Sir Koala itu seakan sama dengan pegawai polis kanan yang didakwa melanggar seorang pelajar Tingkatan Lima sehingga maut di Meru, Ipoh baru-baru ini.

“Sir (Halim), muka Sir macam pegawai yang langgar budak SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) itu," komen pelajar berkenaan.

Walaupun komen tersebut dianggap sekadar gurauan, namun Sir Halim masih bertindak secara profesional dalam menghadapinya dengan memberi nasihat sekali gus menegur pelajar terbabit untuk menghormati seorang guru.

"Apa yang saya nak bagitahu dekat sini adalah benda yang paling penting berkaitan hormat. Bagi saya penghormatan adalah untuk diperoleh, bukan untuk diberikan.

"Kita ada ramai pelajar yang bersama dengan kita, saya jenis yang tak takut untuk sebut nama pelajar, saya takut nanti bila saya sebut nama awak, awak malu.

"Nanti bila awak malu, awak akan tertekan dan tak akan belajar, lepas itu awak akan kebimbangan (anxiety) dan pada akhirnya awak akan meninggal dunia sebagai ‘kegagalan’," katanya dalam video berdurasi satu minit 52 saat itu.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Sir Halim turut mempersoal kepada pelajar terbabit sama ada berbaloi atau tidak untuk dia bersikap biadap terhadapnya sebegitu.

Melihat ke ruangan komen video tular itu, majoriti pengguna media sosial bersetuju dengan nasihat yang diberikan oleh guru berkenaan.

“Sir Halim kelakar sangat tau! Tapi sekali Sir tegur atau marah, memang takut,” kata pengguna akaun Nur Nadirah.

“Masa belajar dulu, aku nak bergurau dengan guru pun tak berani,” ujar pemilik akaun Meliodas.