Pasir Mas, Hilir Perak masih banjir, mangsa berkurang kepada 2,862 orang

Laporan harian bencana dikeluarkan NADMA pada Khamis.
Laporan harian bencana dikeluarkan NADMA pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 2,823 mangsa di daerah Pasir Mas, Kelantan manakala 39 lagi di Hilir Perak masih terlibat dengan banjir merangkumi 880 keluarga yang ditempatkan di 11 pusat pemindahan sementara (PPS) buat masa ini.

Bagaimanapun, Agensi Pengurusan Bencana Negara, Jabatan Perdana Menteri (NADMA) (JPM) memaklumkan jumlah mangsa banjir di dua daerah terbabit berkurang daripada 3,268 kepada 2,862 orang hanya dalam tempoh 24 jam.

Menurutnya, hanya satu kematian akibat banjir Monsun Timur Laut (MTL) direkodkan melibatkan seorang kanak-kanak lelaki di Kota Bharu pada 26 November lalu.

“Sehingga semalam (20 Disember) tiada kawasan yang diputuskan bekalan elektrik akibat banjir dan setakat ini semuanya terkawal. Tenaga Nasional Berhad (TNB) juga menyediakan genset jika terdapat keperluan,” kata agensi berkenaan dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sebelum ini, secara kumulatif seramai 7,196 keluarga dan 24,603 mangsa ditempatkan di PPS bagi tempoh 11 November hingga 21 Disember.

Agensi bencana itu berkata, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah mengeluarkan amaran hujan peringkat waspada di seluruh daerah di Kelantan dan Terengganu serta beberapa kawasan di Pahang sehingga 25 Disember ini.

Tambahnya, luruan monsun dijangka berlaku sehingga tarikh tersebut berdasarkan analisis model-model cuaca dan ia berpotensi membawa hujan berterusan di Timur Semenanjung serta angin kencang atau laut bergelora di Laut China Selatan.

“Sementara itu, di negeri-negeri lain, ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang berpotensi berlaku pada sebelah petang hingga ke malam.

Artikel Berkaitan:

“NADMA selaku urus setia kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) akan sentiasa memastikan semua agensi meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi bencana di semua peringkat.

“Bagi memastikan keselesaan dan kebajikan mangsa banjir, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersedia untuk mengaktifkan 8,481 PPS yang mempunyai kapasiti untuk menempatkan 1,620,855 mangsa di seluruh negara,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!