Larangan berlabuh: 4,000 kontena perlu dikeluarkan

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Sebanyak 4,000 kontena yang terkandas di Pelabuhan Klang susulan larangan Malaysia terhadap syarikat perkapalan yang berpangkalan di Israel, ZIM untuk berlabuh perlu dikeluarkan dalam masa terdekat.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata, pihak ZIM perlu menghubungi syarikat perkapalan lain untuk mengatur bagi mengeluarkan kontena tersebut.

"Ini merupakan tanggungjawab mereka kerana tidak boleh masuk, jadi perlu atur dengan syarikat lain untuk ke destinasi seterusnya," katanya menerusi sidang akhbar selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Pajakan di antara MRT Corporation dan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) di sini pada Khamis.

Menurutnya, kontena tersebut dikenal pasti sebagai kargo transit (transhipment) yang diuruskan oleh ZIM.

"Mereka diberi sedikit masa kerana kontena terbabit bukan melibatkan satu destinasi atau pelabuhan sahaja.

"Bukan satu syarikat perkapalan yang boleh menyelesaikan 4,000 kontena ini sekali gus," katanya.

Sebelum itu, Malaysia melarang kapal ZIM untuk berlabuh di mana-mana pelabuhan di negara ini berkuat kuasa pada Rabu.

Malaysia juga tidak lagi menerima kapal yang menggunakan bendera Israel untuk berlabuh selain kapal menuju ke negara haram Israel turut dikenakan sekatan sama.

Artikel Berkaitan:

Ketetapan Malaysia itu sebagai tindak balas terhadap tindakan Israel yang mengenepikan prinsip asas kemanusiaan dan melanggar undang-undang antarabangsa menerusi pembantaian dan kekejaman berterusan terhadap warga Palestin.