Pemandu bas diupah bawa ganja

Sasikala (tengah) menunjukkan ketulan mampat daun kering disyaki ganja yang dirampas JSJN Selangor di tepi jalan Lebuhraya Utara Selatan, Kuala Lumpur, Isnin lalu. - FOTO: ASRIL ASWANDI SHUKOR
Sasikala (tengah) menunjukkan ketulan mampat daun kering disyaki ganja yang dirampas JSJN Selangor di tepi jalan Lebuhraya Utara Selatan, Kuala Lumpur, Isnin lalu. - FOTO: ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

SHAH ALAM - Taktik membawa dadah menggunakan bas ekspres untuk pasaran di sekitar Lembah Klang terbongkar selepas empat lelaki diberkas berhampiran stesen minyak di tepi jalan Lebuhraya Utara Selatan, Kuala Lumpur pada Isnin.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi berkata, kesemua suspek ditahan kira-kira jam 11.55 malam hasil maklumat dan risikan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor.

Menurutnya, pemeriksaan dalam sebuah kereta jenis Nissan Almera telah menemui satu kotak berisi 10 ketulan mampat daun kering disyaki ganja seberat kira-kira 10.3 kilogram (kg).

"Susulan itu, dengan dipandu arah oleh salah seorang suspek telah membawa kepada rampasan lima lagi kotak berisi 20 ketulan mampat daun kering disyaki ganja seberat kira-kira 105 kg di dalam sebuah bas ekspres di lokasi berhampiran.

"Nilai keseluruhan rampasan dadah itu dianggarkan bernilai RM358,899 selain sitaan wang tunai RM1,100," katanya dalam sidang akhbar di Mess Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor pada Rabu.

Beliau berkata, semakan mendapati seorang daripada suspek bekerja sebagai pemandu bas manakala dua lagi peniaga katering dan seorang penganggur.

Polis Selangor merampas dadah disyaki ganja bernilai RM358,899 susulan penahanan empat suspek di tepi Lebuhraya Utara Selatan, Kuala Lumpur, Isnin lalu. - FOTO: ASRIL ASWANDI SHUKOR
Polis Selangor merampas dadah disyaki ganja bernilai RM358,899 susulan penahanan empat suspek di tepi Lebuhraya Utara Selatan, Kuala Lumpur, Isnin lalu. - FOTO: ASRIL ASWANDI SHUKOR

Katanya, semakan mendapati tiga daripada suspek terbabit turut memiliki rekod lampau bersabit kes dadah dan jenayah.

Artikel Berkaitan:

"Soal siasat polis mendapati pemandu bas terbabit berperanan sebagai transporter bagi membawa dadah itu dari utara semenanjung dengan bayaran upah RM200 bagi setiap kg dan kumpulan ini dipercayai aktif sejak tiga bulan lalu.

"Kesemua suspek berusia 32 hingga 54 tahun ini telah direman tujuh hari sehingga 25 Disember untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Dalam perkembangan lain, Sasikala memberitahu, JSJN Selangor merekodkan 17,211 kes tangkapan pelbagai kes dadah pada tahun ini sejak Januari lalu.

"Daripada tempoh hingga November itu, polis telah menahan 20,986 individu dengan rampasan dadah bernilai RM136 juta," ujarnya.