Pemuda didapati bersalah edar, miliki dadah

Ilham Utama Sawai Suardi hadir di mahkamah dengan menaiki trak polis.
Ilham Utama Sawai Suardi hadir di mahkamah dengan menaiki trak polis.
A
A
A

SEREMBAN - Seorang pemuda didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi, di sini pada Rabu atas pertuduhan mengedar dan memiliki dadah tiga tahun lalu.

Hakim Rohani Ismail menjatuhkan hukuman itu ke atas Ilham Utama Sawai Suardi, 29 selepas mendengar dan meneliti keterangan daripada pihak pendakwaan serta pihak pembelaan.

Menurutnya, pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah bagi kesemua pertuduhan pada akhir kes pembelaan.

"Selepas membuat penilaian menyeluruh atas keseluruhan keterangan dari pihak pendakwaan dan pembelaan, saya berpendapat pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes tanpa sebarang keraguan munasabah bagi ketiga-tiga pertuduhan.

"Oleh demikian tertuduh didapati bersalah atas kesemua pertuduhan ini," katanya.

Mahkamah akan menjatuhkan hukum terhadap suspek pada Khamis
Mahkamah akan menjatuhkan hukum terhadap suspek pada Khamis

Mengikut dua pertuduhan, tertuduh telah didapati mengedar dadah berbahaya jenis Kanabis seberat 373.80 gram dan Kanabis seberat 560.34 gram.

Berikutan itu tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2).

Artikel Berkaitan:

Kesalahan itu dilakukan pada 12 April 2020 jam lebih kurang 3.30 petang di tempat letak kereta sebuah hotel di Seremban dan jam 4.15 petang di Jalan Muafakat, Taman Temiang Jaya di Seremban.

Selain itu tertuduh turut didakwa di bawah Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah jenis Kanabis seberat 10.58 gram di Jalan Penghulu Cantik di Seremban pada tarikh sama.

Peguam Datuk Hanif Hassan meminta mahkamah memberikannya sedikit masa untuk menyediakan hujahan mitigasi.

Mahkamah menetapkan jam 2.30 petang pada Khamis untuk keputusan hukuman.

Terdahulu tertuduh sempat berjumpa dan memeluk ahli keluarganya di kamar mahkamah.