Jodoh Muller bersama Bayern hingga 2025

Muller - Foto Agensi
Muller - Foto Agensi
A
A
A

JODOH penyerang sensasi, Thomas Muller bersama Bayern Munich terus berpanjangan apabila akan kekal di Allianz Arena sehingga Jun 2025.

Pemain berusia 34 tahun itu telah bersama Bayern sejak berusia 10 tahun termasuk ketika membuat debut dalam pasukan utama pada tahun 2008.

Muller dalam satu kenyataan meluahkan rasa gembira untuk meneruskan karier bersama Bayern dan bertekad mengekalkan kejayaan sebagai satu pasukan.

“Penting buat saya untuk menjadi asas dan membantu mengemudi pasukan ke jalan yang diimpikan.

“Saya mahu menggembirakan peminat dengan jaringan dan membantu mencipta gol. Dedikasi terhadap setiap perlawanan serta semangat saya untuk bola sepak. Moga lebih banyak gelaran buat kelab,” ujar Muller.

Sejak bersama skuad utama Bayern, Muller telah membuat 684 penampilan kompetitif sekali gus meletakkan dirinya sebagai pemain kedua terbanyak beraksi dalam sejarah kelab.

Muller membantu Bayern memenangi 12 kejuaraan Bundesliga, dua Liga Juara-Juara, Piala Dunia Kelab dan trofi Piala Super UEFA serta enam Piala DFB serta lapan Piala Super Jerman.

Di pentas antarabangsa, penyerang Jerman itu berjaya memenangi Piala Dunia 2014 di Brazil.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Pengarah sukan Christoph Freund menyifatkan Muller sebagai seorang pemimpin di dalam dan luar padang, sentiasa menjadi contoh dan sangat berharga untuk seluruh pasukan.

“Muller mendorong setiap pemain dengan sikap terbuka dan positif di dalam dan luar padang.

“Cara dia bermain sangat bijak dan serba boleh dalam setiap bahagian. Muller juga hampir tidak pernah cedera, sentiasa diturunkan dalam setiap perlawanan. Dia memiliki kualiti yang hebat,” katanya.