Ancaman besar negara, ramai akan jadi zombie

Laporan Sinar Harian pada Isnin. Gambar kecil: Raja Azizan
Laporan Sinar Harian pada Isnin. Gambar kecil: Raja Azizan
A
A
A

SHAH ALAM- “Jika terlepas dan dibiarkan memang ia jadi satu ancaman besar buat negara, memang ramai jadi zombie,” kata Setiausaha Agung Majlis Penggunaan Bahan Terlarang (MASAC), Raja Azizan Suhaimi Raja Abd Latif.

Katanya, ini kerana dadah jenis fentanyl yang didakwa 100 kali ganda lebih kuat daripada morfin itu boleh mengubah penagihnya menjadi seperti zombie jika dicampurkan dengan dadah lain seperti xylazine.

“Ia berikutan habit penagih yang akan terus setia menggunakan sesuatu yang dapat menghayalkan mereka.

“Otak dah rosak, apa yang boleh menghayalkan mereka guna sebab dah tak fikir kesannya. Akibatnya, ramai yang akan jadi zombie di Malaysia‚” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Selain dadah tersebut, Raja Azizan menjelaskan, cabaran lain turut dihadapi negara adalah penggunaan dadah sintetik di pasaran yang sangat berbahaya dan boleh merosakkan otak.

“Kita panggil sebagai new psychoactive substances dan lebih 800 jenis yang belum diwartakan sebagai dadah.

“Apabila dilakukan ujian saringan air kencing keputusannya tidak positif,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mendakwa negara tidak bersedia dan memiliki keupayaan untuk mengekang kemasukan dadah-dadah jenis tersebut.

“Saya lihat jumlah anggota pihak berkuasa tidak mencukupi dengan keluasan kawasan dan perairan negara.

Artikel Berkaitan:

“Orang pula sanggup buat apa sahaja kerana boleh memperoleh keuntungan besar,” katanya.

Justeru, beliau berkata, semua pihak perlu bekerjasama dan tidak boleh meletakkan tanggungjawab tersebut kepada satu agensi atau kementerian semata-mata.

Pada Isnin media melaporkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas 807.9 kilogram dadah jenis fentanyl yang dianggarkan bernilai RM44.4 juta.

Bahan tersebut telah diikrarkan sebagai sebatian pewangi di Kompleks Kargo Udara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).