Azeem baharui rekod 200m di Bukit Jalil

Azeem - Foto Agensi
Azeem - Foto Agensi
A
A
A

JAGUH pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi dengan tenang membaharui rekod kejohanan bagi acara 200 meter (m) pada Terbuka SAECA-SSBJ Innotex 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa.

Azeem melakar catatan 21.99 saat (s) sekali gus memecah rekod kejohanan 22.17s yang dilakukan Muhd Syarul Adli pada 2019.

Catatan tersebut bagaimanapun masih jauh daripada rekod kebangsaan 20.77s yang dilakar Russel Alexander Nasir Taib di Queensland Track Classic pada 2019.

"Jurulatih ada beritahu supaya tidak terlalu berlari sepenuh tenaga susulan dalam transaksi pra musim. Saya akan mulakan musim baharu pada Januari.

"Jadi perlu menunggu sehingga masa sesuai dan sebab itu saya perlahankan larian. Ia hanya untuk saya dapatkan momentum dan perasaan kejohanan sahaja," kata Azeem ketika ditemui media selepas menamatkan acara berkenaan.

Azeem yang berpangkalan di Amerika Syarikat turut meluahkan keterujaan dengan sambutan diterimanya pada kejohanan berkenaan.

Malah beliau turut menitipkan harapan agar rakyat Malaysia terus mendoakan kejayaannya dalam bidang sukan serta pelajaran.

"Saya tak jangka boleh jadi seperti mana hari ini. Ini semua hasil doa daripada ibu bapa, guru, jurulatih dan rakan.

Artikel Berkaitan:

"Doa orang sekeliling adalah senjata terkuat saya. Ia mendorong saya untuk terus gigih berusaha," kata Azeem.

Selepas berakhir kejohanan tersebut, Azeem akan memanfaatkan cuti yang diberikan oleh jurulatih untuk pulang ke Ipoh, Perak sebelum berdepan jadual padat tahun hadapan.

"Saya akan menghabiskan masa bersama keluarga, jurulatih dan rakan-rakan kerana sebelum ini saya terlalu sibuk dengan jadual kejohanan," katanya.