MOT salur lebihan dana tanggung subsidi tiket penerbangan

Lebihan belanjawan kementerian akan digunakan bagi membiayai subsidi tiket penerbangan sehala kelas ekonomi yang melebihi RM599 ketika musim perayaan.(Gambar hiasan) - Foto 123rf (Gambar kecil: Anthony)
Lebihan belanjawan kementerian akan digunakan bagi membiayai subsidi tiket penerbangan sehala kelas ekonomi yang melebihi RM599 ketika musim perayaan.(Gambar hiasan) - Foto 123rf (Gambar kecil: Anthony)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lebihan belanjawan kementerian akan digunakan bagi membiayai subsidi tiket penerbangan sehala kelas ekonomi yang melebihi RM599 ketika musim perayaan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, inisiatif itu mendapat sokongan Jemaah Menteri walaupun tidak mempunyai peruntukan khusus daripada belanjawan (2024).

“Bagaimanapun, kita berharap pendekatan kreatif menyalurkan semula apa jua penjimatan atau peruntukan surplus daripada kementerian kami untuk menyokong inisiatif ini,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen DAP Wilayah Persekutuan di sini pada Ahad.

Beliau berkata, bagi musim perayaan Krismas, dana telah diperuntukan kepada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) bagi inisiatif tersebut.

Jelasnya, untuk penerbangan Malaysia Airline System (MAS) pada 23 Disember iaitu sebelum Krismas akan datang tiket telah terjual dan lonjakan sangat tinggi, tiket terakhir mencecah lebih RM1,000.

“Oleh kerana kita menetapkan dasar ini, harga jualan adalah RM659 iaitu kita tetapkan caj RM559 campur cukai.

“Ia menjadikan tiket penerbangan paling maksimum (tinggi) ialah RM659 berbanding jika tiada insiatif ini harga jualannya adalah RM1,616.

“Jadi kita dah jimat lebih kurang RM1,000 untuk penerbangan MAS kalau beli tiket hari ini untuk 23 Disember. Itulah saya katakan bahawa insiatif ini membantu mengurangkan beban penumpang,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Anthony Loke berkata, syarikat penerbangan tidak boleh melakukan penipuan kerana kerajaan mempunyai data.

“Syarikat penerbangan ini mesti mengamalkan dasar ‘dynamic pricing’ maksudnya lagi awal tiket dibeli pengguna akan dapat lagi murah.

“Ada beberapa kategori tiket, tidak boleh semua kategori letak pada harga RM599. Masih perlu kategori-kategori yang lebih murah tetapi apabila sampai kepada satu tahap kategori tiket itu telah mencecah RM600 perbezaan itu akan dibayar oleh kerajaan,” ujarnya.

Pada Jumaat, Anthony Loke mengumumkan kerajaan bersetuju dengan cadangan subsidi Kementerian Pengangkutan bagi inisiatif subsidi tiket dari Semenanjung ke Sabah, Sarawak, dan Labuan sempena cuti Krismas, bermula 22 hingga 24 Disember.