'Ada kes minyak masak peket dimasukkan dalam botol, dijual semula'

Gambar hiasan. Gambar kecil: Datuk Armizan Mohd Ali
Gambar hiasan. Gambar kecil: Datuk Armizan Mohd Ali
A
A
A

PAPAR - Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali mengesahkan memang berlaku ketirisan dan penyelewengan subsidi kerajaan yang diberikan kepada rakyat.

Sehubungan itu, beliau berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah mengambil tindakan untuk melaksanakan audit bagi melihat pelaksanaan subsidi itu di seluruh negara.

"Saya tidak menafikan ketika memangku menteri KPDN sebelum ini ada dengar khabar angin. Kini saya boleh sahkan memang berlaku ketirisan dan penyelewengan subsidi, namun belum dapat dipastikan sehingga tahap mana.

"KPDN telah membuat audit bermula pada Oktober lepas untuk salah satu komponen subsidi iaitu minyak masak peket.

"Kita dapati ada isu sorok, ada isu minyak masak peket dimasukkan semula dalam botol kemudian dijual semula dengan harga minyak masak botol, memang berlaku," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan majlis Muzikal Platinum Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saint (St) Joseph Grand Reunion di sini pada Sabtu.

Katanya lagi, audit itu berlangsung sehingga Mac tahun hadapan sebelum laporan tersebut dibentangkan.

"Bagi saya ini merupakan salah satu perkara yang kita tidak boleh kompromi," kata Ahli Parlimen Papar itu.

Artikel Berkaitan:

Beliau dalam pada itu turut memberi amaran kepada pemilik syarikat yang dilantik supaya tidak melakukan aktiviti menyeleweng sehingga menyebabkan ketirisan subsidi yang diberikan kerajaan.

"Jadi nasihat saya kepada mereka yang terlibat, syarikat-syarikat yang dilantik bagus-baguslah berniaga.

"Janganlah berniaga untung atas angin, atas subsidi ini dan untung atas subsidi yang sepatutnya dimanfaatkan kepada golongan yang memerlukan.

"Jangan sabotaj atas keprihatinan kerajaan untuk rakyat yang memerlukan," katanya.

1. Armizan ketika ditemui pemberita selepas merasmikan majlis Muzikal Platinum SMK St Joseph Grand Reunion di SMK St Joseph, Papar.