Ras Adiba dedikasi lagu buat rakan media di Palestin

Ras Adiba berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam projek video muzik istimewa ini.
Ras Adiba berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam projek video muzik istimewa ini.
A
A
A

BIARPUN sudah lebih 60 hari berlalu, masyarakat di Gaza, Palestin masih belum menghirup udara keamanan dan serangan tentera Zionis masih berlaku.

Bukan hanya rakyat biasa yang menjadi mangsa, sudah lebih 60 wartawan, jurugambar dan jurukamera turut menjadi korban.

Justeru sebagai tanda solidariti buat teman media di Palestin khususnya, Datuk Dr Ras Adiba Radzi menghasilkan sebuah klip video yang menyaksikan 'kesakitan' dilalui oleh rakyat Gaza pada ketika ini menerusi bidikan jurugambar, Motaz Azaiza.

“Gambar yang dirakamkan Motaz Azaiza banyak membuka mata dunia bagaimana kekejaman dilalui oleh rakyat Palestin. Dia tidak mewakili mana-mana media, tetapi tidak putus melaporkan dan berkongsi keadaan terkini di Gaza.

“Jadi ini adalah penghormatan dan tanda terima kasih, bukan sahaja untuk beliau tetapi juga semua wartawan dan jurugambar yang bertugas di medan perang, bergadai nyawa untuk menjadi mata dan telinga kita semua,” kata bekas senator itu kepada Sinar Harian.

Menurut figura yang juga bekas pengamal media itu, klip video tersebut turut memperdengarkan lagu Sky Will Open Fire yang dirakamkan 10 tahun lalu.

"Lirik Sky Will Open Fire ini dicipta oleh Maximilian Bemm, rakan saya yang tinggal di Frankfurt, Jerman. Ketika bercuti dan melawat keluarga angkat di sana, kami duduk berbual mengenai perang dan dari situ timbulnya idea untuk membuat lagu tersebut.

“Saya turut menyumbang idea dalam penghasilan lirik pada ketika itu. Malah lagu ini bukan hanya menggambarkan sebuah perang yang berlaku, tetapi bagaimana seseorang itu ‘berperang’ dalam hati atau dirinya,” jelas beliau.

Artikel Berkaitan:

Tambah wanita berusia 55 tahun itu, beliau bertuah kerana mendapat team hebat yang sudi bekerjasama dalam menghasilkan video muzik Sky Will Open Fire.

“Video muzik ini diarahkan oleh saudara Amri Ginang dan kemudian kami satukan dengan gambar hitam putih bidikan Motaz Azaiza.

“Apa yang saya harapkan daripada video muzik ini, saya dapat membuka hari pendengar dan kita tidak akan senyap serta terus bersuara dengan cara masing-masing supaya Palestin akan bebas dari sungai ke lautan,” katanya.

Ras Adiba turut merancang membantu mangsa kekejaman Israel dengan menyalurkan sumbangan berbentuk bantuan makanan, kerusi roda, kaki dan tangan palsu serta tongkat.

“Saya juga berniat membantu rakyat Palestin menyambung pengajian sekiranya mereka ke negara kita,” ujarnya.