KPDN rampas 166,623 liter diesel bersubsidi

Antara lori tangki yang dirampas dalam Op Tiris KPDN Negeri Sembilan.
Antara lori tangki yang dirampas dalam Op Tiris KPDN Negeri Sembilan.
A
A
A

SEREMBAN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merampas 166,623 liter disyaki diesel bersubsidi dianggarkan bernilai RM250,739.45.

Pengarah KPDN Negeri Sembilan, Muhammad Zahir Mazlan berkata, rampasan itu dilakukan dalam lima serbuan Ops Tiris di sekitar Seremban dan Kuala Pilah antara 3 Disember hingga 9 Disember lalu.

"Dalam serbuan dijalankan di Jalan Kuala Pilah pada 3 Disember, KPDN mendapati sebuah lori tangki dalam keadaan mencurigakan kerap berhenti mengisi minyak di stesen minyak sekitar Bahau dan Kuala Pilah.

"Hasil pemeriksaan menyeluruh terhadap lori tangki menemukan 2,500 liter diesel dan satu unit pam khas yang diubah suai," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, pemantauan terhadap pergerakan sebuah lagi lori mencurigakan selepas didapati kerap membuat pengisian minyak di beberapa stesen minyak sekitar Seremban pada 4 Disember lalu berjaya menemukan 500 liter diesel, enam unit tangki IBC berserta pam dan hos.

Penguat kuasa KPDN memeriksa lori membawa tangki putih ketika Ops Tiris.
Penguat kuasa KPDN memeriksa lori membawa tangki putih ketika Ops Tiris.

Tambahnya, serbuan ketiga pada 5 Disember dilakukan di sebuah premis milik pemborong berlesen minyak diesel dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Pemeriksaan menyeluruh terhadap premis menemui 106,500 liter minyak diesel di dalam dua lori tangki dan empat unit tangki skid.

Artikel Berkaitan:

"Serbuan keempat pada 8 Disember pula, penguat kuasa KPDN menemukan enam unit tangki IBC berisi anggaran 4,500 liter diesel di atas lori berserta pam dan hos susulan pemeriksaan sebuah lori di Jalan Lama Tampin, Seremban," katanya.

Tangki putih berisi diesel bersubsidi ditemukan dalam sebuah lori.
Tangki putih berisi diesel bersubsidi ditemukan dalam sebuah lori.

Ujarnya, serbuan pada 9 Disember dilakukan di sebuah premis dijadikan tempat penyimpanan dan pemindahan diesel bersubsidi di Green Technology Park, Seremban.

"Hasil pemeriksaan menyeluruh mendapati terdapat 2,623 liter diesel disimpan dalam sebuah tangki.

"Secara keseluruhan, sebanyak tujuh lori disita, 12 unit tangki IBC dan 10 unit pam berserta hos dirampas dengan nilai keseluruhan RM 402,402.45.

Penguat kuasa KPDN memeriksa dokumen daripada seorang lelaki di lokasi serbuan.
Penguat kuasa KPDN memeriksa dokumen daripada seorang lelaki di lokasi serbuan.

"Tujuh lelaki tempatan ditahan kerana disyaki melanggar Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974," katanya.

Tambahnya, lima kertas siasatan dibuka dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.