PM dijangka umum rombakan Kabinet hari ini

Anwar
Anwar
A
A
A

PERDANA MENTERI, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka mengumumkan rombakan Kabinet hari ini dan akan diadakan majlis angkat sumpah pada sebelah petang.

Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia Sumpah Simpan Rahsia oleh Menteri Persekutuan yang terbabit dengan rombakan itu akan berlangsung di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Walaupun rombakan Kabinet bukan perkara baharu, namun ia menunjukkan Kerajaan Madani benar-benar ingin memastikan setiap individu yang dipilih oleh rakyat mampu menjalankan tugas dengan baik.

Antara kementerian yang dijangka terlibat dalam rombakan tersebut adalah Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Komunikasi Digital (KKD), Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC).

Sebelum ini, tercetus khabar angin mengenai rombakan Kabinet khususnya selepas jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup kosong susulan kematian Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lalu.

Namun timbul pula persoalan siapakah individu yang layak menggantikan tempat beliau?

Dalam pada itu, menurut sumber, individu yang bakal menggantikan tempat Allahyarham Salahuddin dalam Kabinet baharu Anwar merupakan seorang ahli korporat.

Selain itu, antara nama yang disebut-sebut ialah Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari dan bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkifly Ahmad.

Artikel Berkaitan:

Pembentukan Kabinet merupakan identiti penting kepada Perdana Menteri lebih-lebih lagi senario politik di Malaysia pada hari ini semakin dinamik.

Perdana Menteri perlu memainkan peranan penting dalam menentukan kriteria mereka dinilai dengan serius bagi memastikan hala tuju negara berada di landasan yang betul.

Setiap portfolio yang dipegang kementerian memerlukan individu dengan misi jelas untuk menyelesaikan masalah rakyat secara tuntas.

Oleh itu, setiap jawatan perlu diberikan kepada orang yang berwibawa bagi memacu masa depan rakyat dan negara.