Cadangan mekanisme penetapan tarif air dibawa ke Kabinet

Gambar hiasan - Foto fail Bernama
Gambar hiasan - Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Cadangan mekanisme penetapan tarif air baharu di Semenanjung dan Labuan akan dibawa ke mesyuarat Kabinet minggu depan, kata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), Nik Nazmi Nik Ahmad.

Beliau berkata, tarif air sedia ada termasuk bagi akaun domestik dijangka dikaji semula apabila mekanisme itu diguna pakai kelak.

"Ini adalah satu perkara yang penting bagi membolehkan kita mengatasi masalah NRW (Kadar Air Tidak Berhasil) dan meningkatkan (keupayaan) infrastruktur (bekalan) air," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan program Sustainability Achieved via Energy Efficiency (SAVE) 4.0 di reruai NRECC pada Program Setahun Bersama Kerajaan Madani di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil di sini hari ini.

Sebelum ini, Nik Nazmi ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada 9 November berkata, kerajaan negeri secara rentas parti, bersetuju pada mesyuarat Majlis Air Negara supaya tarif air di negeri disemak semula dan satu mekanisme penetapan tarif baharu diwujudkan bagi mengawal selia kadar kenaikan tarif oleh syarikat pengendali.

Mengenai SAVE 4.0, Nik Nazmi berkata, orang ramai boleh mendapatkan rebat sehingga RM400 bagi pembelian penyaman udara dan peti sejuk cekap tenaga dengan label empat atau lima bintang yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tenaga bermula hari ini.

Beliau berkata, RM50 juta telah diperuntukkan melalui Dana Akaun Amanah Industri Bekalan Elektrik (AAIBE) untuk pelaksanaan program itu.

"Kita mempunyai hasrat untuk tingkatkan kecekapan tenaga dan (mencapai) sifar karbon bersih.

Artikel Berkaitan:

"Jadi keperluan untuk peralatan atau peranti yang lebih cekap tenaga ini penting sebagai satu bentuk galakan bagi mencapai hasrat itu," katanya.

Sementara itu NRECC dalam kenyataan berkata, Rebat SAVE 4.0 boleh dinikmati oleh warganegara Malaysia yang merupakan pemilik akaun elektrik tarif domestik yang berdaftar dengan syarikat utiliti, dan ia terhad kepada satu akaun bil elektrik bagi setiap pembelian penyaman udara dan peti sejuk.

Pengguna boleh memohon dan mendapatkan rebat dengan membawa bil elektrik terkini apabila membuat pembelian secara fizikal di kedai elektrik dan pasar raya berdaftar di bawah program itu atau memohon e-rebat dan membuat pembelian secara dalam talian menerusi platform e-dagang yang diiktiraf.

Menurut kenyataan itu, program rebat berkenaan akan diteruskan selagi peruntukan RM50 juta bagi program itu belum habis digunakan, dan pemohon adalah diingatkan bahawa rebat adalah tertakluk kepada 'first come, first serve basis'.

Maklumat mengenai kriteria kelayakan, cara permohonan e-rebat, mekanisme pelaksanaan, senarai jenama dan model kelengkapan elektrik cekap tenaga serta harga rujukan di bawah Program SAVE 4.0 boleh didapati di laman sesawang rasmi www.saveenergy.gov.my atau microsite yang disediakan di platform e-dagang. - Bernama