Agong, Permaisuri berkenan hadir majlis bersama legenda sukan negara

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berkenan menyantuni tetamu pada majlis ‘Sports Flame’ yang menghimpunkan bekas atlet negara di sini, hari ini. - Foto Bernama
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berkenan menyantuni tetamu pada majlis ‘Sports Flame’ yang menghimpunkan bekas atlet negara di sini, hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menghadiri majlis gala ‘Sports Flame’ yang menghimpunkan legenda sukan, jurulatih dan pegawai daripada era 1960-an hingga awal 80-an pada majlis santai dan mesra di sini, hari ini.

Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berkenan menghadiri majlis jamuan petang di Hotel Concorde Kuala Lumpur bagi meraikan dan mengimbau sumbangan 177 ikon yang mewarnai zaman kegemilangan sukan negara di pentas dunia.

Selain daripada sesi jamuan petang, baginda berdua beramah mesra dengan tetamu apabila mengunjungi setiap meja dan berkenan bergambar mesra bersama beberapa bekas personaliti sukan yang mengharumkan nama negara pada zaman kegemilangan masing-masing.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berkenan bertitah dan menyampaikan lagu ketika menyantuni tetamu pada majlis ‘Sports Flame’ yang menghimpunkan bekas atlet negara di sini, hari ini. - Foto Bernama
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berkenan bertitah dan menyampaikan lagu ketika menyantuni tetamu pada majlis ‘Sports Flame’ yang menghimpunkan bekas atlet negara di sini, hari ini. - Foto Bernama

Dalam titah ringkasnya, Yang di-Pertuan Agong mengingatkan bekas atlet negara itu supaya menjaga kesihatan mereka dan sentiasa berada bersama keluarga.

"Seiring dengan bertambahnya usia kita, sila jaga kesihatan anda dan pastikan anak-anak atau cucu sentiasa bersama anda," titah baginda.

Sports Flame, yang dianjurkan sejak tahun 2011, merupakan inisiatif bersama empat bekas wartawan sukan kebangsaan: Datuk Lazarus Rokk, Datuk George Das, Datuk Fauzi Omar dan R. Velu, selain daripada kerjasama dengan portal berita tempatan (Free Malaysia Today) untuk edisi tahun ini.

Antara tokoh sukan yang hadir adalah bekas pemain bola sepak Datuk Santokh Singh dan Reduan Abdullah, bekas pemain badminton Datuk James Selvaraj, bekas pelari wanita G. Shanti dan bekas pemain hoki, Stephen van Huizen.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, pengasas bersama Sports Flame, Lazarus, dalam ucapan beliau berkata selain daripada menunjukkan penghargaan kepada ikon sukan, legenda sukan negara masa lalu turut mengucapkan selamat berangkat pulang ke Pahang kepada badinda berdua (tempoh Al-Sultan di Istana Negara akan berakhir pada 30 Jan depan).

"Majlis ini adalah seperti perpisahan kepada baginda berdua daripada ‘keluarga’ sukan. Raja dan Permaisuri hebat sepanjang masa," katanya. - Bernama