Moyes tak sabar mulakan cabaran bersama The Hammers

Moyes dilantik pengendali baharu The Hammers. - Foto West Ham United
Moyes dilantik pengendali baharu The Hammers. - Foto West Ham United
A
A
A

BEKAS pengendali Everton dan Manchester United, David Moyes kembali dilantik pengurus baharu West Ham United menggantikan Manuel Pellegrini yang dipecat selepas The Hammers tewas 1-2 kepada Leicester City pada saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), malam kelmarin.

Pengerusi The Hammers, David Sullivan berkata, pemilihan Moyes adalah kerana pengendali itu membuktikan keupayaan sebenarnya ketika bersama kelab berkenaan sebelum ini.

"West Ham United dengan bangga memaklumkan bahawa David Moyes kini kembali ke kelab sebagai pengendali utama.

"Moyes sudah membuktikan dalam masa yang singkat dengan kelab ini bahawa dia mampu memberikan impak positif.

"Sesungguhnya kami percaya Moyes akan menggerakkan West Ham United ke arah landasan yang tepat untuk kali kedua," kata Sullivan.

Sementara itu, Moyes menyifatkan beliau gembira kerana dapat kembali berbakti bersama The Hammers bagi mengharungi baki saingan musim ini.

"Secara jujur saya tidak sabar untuk memulakan cabaran mengemudi West Ham United ke landasan ditetapkan kelab ini sebelum ini.

"Untuk itu akan ada pelan jangka pendek dalam tempoh enam bulan ini bagi memastikan kelab konsisten melakar kemenangan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Moyes yang ditawarkan kontrak 18 bulan akan memulakan tugas pertamanya melayan kunjungan Bournemouth di Stadium Olimpik London pada Khamis ini.

Untuk rekod, ini kali kedua Moyes dilantik pengendali West Ham United selepas menjawat jawatan sama pada November 2017.

Pada ketika itu, Moyes yang diberikan kontrak jangka pendek berjaya membawa The Hammers keluar dari zon penyingkiran seterusnya mengekalkan status kelab liga elit.