86.43 peratus permohonan pinjaman SJKP diluluskan bagi belia

Akmal Nasrullah - Foto Bernama
Akmal Nasrullah - Foto Bernama
A
A
A
KUALA LUMPUR - Sebanyak 26,645 daripada 30,841 permohonan pinjaman atau bersamaan 86.43 peratus diluluskan bagi golongan belia sepanjang pelaksanaan Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) mulai 2008 sehingga 30 Sept lepas, Dewan Negara diberitahu.

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, di bawah inisiatif itu, SJKP menyediakan jaminan RM5 bilion nilai pinjaman dan ditambah baik menerusi pengumuman Ekonomi Madani dengan tambahan jaminan pembiayaan sehingga RM5 bilion.

"Di bawah Belanjawan 2024, kerajaan juga bersetuju meningkatkan jaminan pembiayaan dengan nilai tambahan jaminan sebanyak RM10 bilion.



"Pembiayaan ini adalah untuk pembeli rumah pertama termasuk belia yang tidak mempunyai pendapatan tetap atau penyata gaji seperti golongan ekonomi gig. Bagaimanapun pembiayaan tidak terhad untuk kediaman baharu sahaja, tetapi termasuk juga rumah sedia ada atau rumah lelongan," katanya semasa sesi jawab lisan di Dewan Negara pada Khamis.

Beliau menjawab soalan Senator Profesor Tan Sri Dr Mohamed Haniffa Abdullah yang ingin tahu strategi dan langkah Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk meningkatkan pemilikan rumah dalam kalangan belia serta meringankan beban kos sewaan supaya sesuai dengan keadaan taraf hidup masa kini.

Sementara itu, Akmal Nasrullah berkata, sehingga 31 Oktober lepas, 162 Projek Perumahan Rakyat (PPR) di bawah seliaan KPKT telah siap dibina melibatkan 100,696 unit rumah.

"Berdasarkan rekod, sehingga 2022, daripada 8,382 unit rumah PPR Disewa dan Sewa-Untuk-Milik (RTO) yang telah diisi, kategori ketua isi rumah (KIR) yang paling tinggi adalah antara umur 31 dan 40 tahun iaitu 35.90 peratus atau 3,013 orang," katanya.

Beliau berkata untuk unit kediaman Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) pula, sehingga 30 Oktober lepas, 25,708 unit dijual dengan 17,895 unit daripadanya dimiliki golongan belia.

"Sementara itu 41,675 unit iaitu 65 peratus daripada 64,115 unit Rumah Mesra Rakyat (RMR) yang telah dibina dimiliki oleh golongan belia," katanya.

Artikel Berkaitan: