KKM batal notifikasi 4 produk kosmetik ada racun berjadual

Muhammad Radzi
Muhammad Radzi
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah membatalkan notifikasi empat produk kosmetik kerana dikesan mengandungi racun berjadual, dan tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan dalam kenyataan pada Rabu berkata, produk berkenaan ialah Bestie Moisturizer Cream dan Abyra Seaweed Skin Care-Seaweed Cell Renewal Night Cream yang masing-masing mengandungi merkuri.

Dua lagi produk adalah Gerbera Beauty-Treatment & Repairing Night Cream kerana mengandungi hydroquinone, tretinoin dan betamethasone 17-valerate manakala Gerbera Beauty - Whitening Night Cream dikesan mengandungi merkuri dan betamethasone 17-valerate.

"Merkuri dilarang di dalam produk kosmetik kerana boleh memudaratkan kesihatan kerana ia boleh diserap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf.

"Ia juga boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan. Merkuri juga boleh menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit,” katanya.

Beliau berkata, produk mengandungi hydroquinone, tretinoin dan betamethasone 17-valerate adalah ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat ahli profesional kesihatan, penggunaan tanpa pengawasan boleh menyebabkan kesan sampingan.

Dr Muhammad Radzi berkata, hydroquinone antaranya boleh menyebabkan kemerahan pada kulit yang disapu manakala tretinoin boleh menyebabkan bahagian kulit yang disapu menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari.

Betamethasone 17-Valerate boleh menyebabkan bahagian kulit muka yang disapu menjadi nipis dan mudah mengalami iritasi, berjerawat, perubahan pada pigmentasi kulit dan meningkatkan risiko untuk diserap ke dalam sistem peredaran darah yang boleh membawa kesan mudarat, katanya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, beliau menggesa penjual dan pengedar agar menghentikan penjualan serta pengedaran semua produk berkenaan serta-merta kerana melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Individu yang melakukan kesalahan di bawah peraturan itu berdepan hukuman maksimum denda RM25,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda RM50,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

Syarikat yang melakukan kesalahan berdepan hukuman denda maksimum RM50,000 untuk kesalahan pertama dan RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

"Orang awam yang menggunakan produk kosmetik ini dinasihatkan agar segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers,” katanya. - Bernama