Malaysia capai nilai pelaburan tertinggi berbanding 10 tahun lalu

Tengku Zafrul memberi penerangan mengenai kad laporan pada sidang media pengumuman Kad Laporan MITI-Setahun Kerajaan Madani di Menara MITI pada Rabu. - Foto Bernama
Tengku Zafrul memberi penerangan mengenai kad laporan pada sidang media pengumuman Kad Laporan MITI-Setahun Kerajaan Madani di Menara MITI pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

[DIKEMAS KINI] JUMLAH nilai pelaburan yang diluluskan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bagi tempoh Januari sehingga September tahun ini sebanyak RM225 bilion adalah antara pencapaian tertinggi dan terbaik Malaysia sepanjang sepuluh tahun lepas.

Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, pencapaian itu membuktikan daya tarikan berterusan Malaysia serta keyakinan pelabur terhadap negara ini sebagai sebuah destinasi pelaburan.

"Nisbah pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan langsung domestik (DDI) juga mencatatkan angka yang lebih kurang sama iaitu 56 peratus bagi FDI dan 44 peratus bagi DDI sepanjang sembilan bulan tahun ini,” katanya pada sidang media Pengumuman Kad Laporan MITI 2023 - Setahun Kerajaan Madani di Kuala Lumpur, pada Ranu.

Jumlah keseluruhan nilai pelaburan komited sepanjang misi pelaburan tahun ini sebanyak RM347 billion iaitu China (RM170 bilion); Amerika Syarikat (APEC) (RM63 bilion); Abu Dhabi (RM40.6 bilion); Korea Selatan (RM24 bilion); Jepun (RM23.1 bilion); Singapura (RM13 bilion); Brunei (RM5 bilion); Amerika Syarikat (UNGA) (RM4.74 bilion); Itali (RM3.3 bilion); Indonesia (RM300 juta); dan Vietnam (RM5 juta).

Tengku Zafrul berkata aliran masuk pelaburan dari negara seperti Belanda, Singapura, Amerika Syarikat, China dan Jepun mencerminkan jenis pelaburan strategik berteknologi tinggi, yang disasarkan Malaysia daripada peserta global.

"MITI dan agensinya Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) akan terus meletakkan Malaysia sebagai destinasi yang sangat berdaya maju dan stabil untuk menarik lebih banyak pelaburan secara strategik daripada reka bentuk semula rantaian bekalan dalam landskap pelaburan global.



"Ini selaras dengan transformasi perindustrian seperti yang ditetapkan dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030," katanya.

Beliau berkata Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2023 menjadi antara pencapaian yang membanggakan dalam tempoh sembilan bulan itu dengan nilai jualan berjumlah RM3.11 bilion, meningkat 24 peratus berbanding sasaran RM2.5 bilion, di samping mengetengahkan 44 negara pempamer.

Komitmen eksport dari misi perdagangan 2023 merekodkan nilai berjumlah RM13.39 bilion termasuk Korea Selatan (RM2.7 bilion); China (Beijing) (RM2.6 bilion); China (Nanning) (RM3.2 bilion); Hong Kong RM780 juta; Jepun (RM2.1 bilion); serta Amerika Syarikat (RM2.1 bilion).

Selain itu, MITI kini berusaha untuk memasuki pasaran baharu yang lain seperti Ecuador, Nigeria, Tanzania, Puerto Rico dan Kyrgyzstan bagi memperluas pasaran eksport negara, katanya.

Mengulas lanjut mengenai keutamaan 2024, Tengku Zafrul berkata MITI akan menumpukan kepada usaha mempercepat proses pelaburan dan mencapai sasaran pelaburan ekonomi digital bernilai RM130 bilion pada 2025.

"Selain itu, fokus turut diberikan dalam usaha melengkapkan rasionalisasi agensi penggalakan pelaburan (IPA) pada tahun hadapan," katanya.

Dari segi perdagangan, beliau berkata, MITI menyasarkan peningkatan sebanyak lima peratus bagi 2024 susulan unjuran Pertubuhan Dagangan Dunia (WTO) yang menunjukkan trend yang agak mencabar.

Artikel Berkaitan:


"Kita juga ingin membuka pasaran baharu termasuk di Timur Tengah, Afrika dan Amerika Selatan," katanya.

Beliau berkata MITI akan memperhalus dan menambah baik beberapa perjanjian perdagangan bebas (FTA) yang relevan dengan beberapa pihak, terutama dalam sektor digital dan teknologi hijau. - Bernama