PJ City bukan hanya pengacau

 K Devan
K Devan
A
A
A

PETALING Jaya City (PJ City) FC bertekad menempatkan diri dalam kelompok lima pasukan terbaik saingan Liga Super 2020.

Keyakinan itu disuarakan pengendalinya, K Devan dengan menegaskan The Phoenix musim 2020 memiliki barisan pemain lebih baik berbanding musim lalu.

“Sasarannya kalau boleh kita mahu berada di kelompok lima teratas. Musim lalu kita berjaya berada di tempat kelapan dan kami mahu memperbaiki kedudukan tersebut.

“Saya boleh katakan kami memiliki satu pasukan yang lebih baik berbanding musim lepas apabila sudah membawa masuk pemain muda dan pemain senior yang berkualiti.

“Untuk piala pula, kita tak sasarkan sebarang piala. Tetapi kalau mampu menjejakkan kaki ke peringkat separuh akhir, ia sudah cukup baik,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Dalam pada itu, Devan turut tidak mahu skuadnya hanya dilabelkan pasukan pengacau dalam saingan Liga Super memandangkan PJ City pernah beberapa kali menjadi pasukan pemusnah kepada beberapa pasukan besar dalam saingan liga musim lepas.

Menurutnya, beliau mahu aksi konsisten dipamerkan pemainnya dan bukan hanya sasar untuk menumpaskan pasukan berstatus bintang.

“Kita tak nak jadi pengacau kerana dalam bola sepak ini kita perlu menunjukkan prestasi baik dan konsisten setiap perlawanan.

Artikel Berkaitan:

“Kita bukan sahaja nak menang dengan pasukan besar, tetapi selepas itu tewas dengan pasukan bawah daripada kita. Saya tak nak macam itu. Kalau boleh biar kita konsisten,” katanya.

Untuk rekod, The Phoenix menjadi satu-satunya pasukan yang menewaskan juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) selain menjinakkan Pahang dan Terengganu pada saingan Liga Super musim lalu.

Mengulas mengenai pemain import, Devan memberitahu pihaknya masih sedang cuba mengenal pasti tiga tonggak import yang akan membarisi bahagian serangan dan pertahanan pasukan itu.

“Kita masih dalam proses mengenal pasti. Yang berada dalam senarai pendek ketika ini ialah daripada Congo, Brazil dan juga Korea Selatan,” katanya.