UMNO Johor dedah PN giat pujuk Ahli Parlimen UMNO

Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Abdul Halim
Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Abdul Halim
A
A
A

JOHOR BAHRU - UMNO Johor mendedahkan Perikatan Nasional (PN) kini sedang giat memujuk ahli Parlimen parti itu untuk menyokong mereka.

Setiausaha UMNO Johor, Datuk Abdul Halim Suleiman berkata, pujukan dan rundingan yang cuba diadakan beberapa pemimpin, bagaimanapun ditolak ahli Parlimen UMNO.

Jelasnya, ahli Parlimen UMNO lebih bermaruah dan berkredibiliti apabila menolak untuk berunding demi hasrat PN untuk menubuhkan kerajaan di Putrajaya terutama selepas kemenangan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman.

"Memang ada usaha-usaha yang sedang dan telah dibuat oleh beberapa pemimpin PN untuk berunding dengan segelintir ahli Parlimen dari UMNO untuk bersama mereka.

"Tapi semuanya ditolak mentah-mentah kerana ahli Parlimen UMNO lebih bermaruah dan berkredibiliti, " katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Abdul Halim mendakwa PN kini makin cemas kerana akan ada lagi ahli Parlimen mereka akan beralih sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Madani.

"Bagi saya, keputusan lima ahli Parlimen PN sokong PMX itu adalah satu tindakan berjiwa besar. Mereka sanggup ketepikan ego, perbezaan parti serta ideologi demi memastikan peruntukan untuk Parlimen dan rakyat yang mengundi mereka terjamin.

"Oleh itu apabila Barisan Nasional (BN) tewas di PRK Kemaman, saya berlapang dada kerana PN hanya menang satu kerusi tapi sudah hilang sokongan 5 kerusi lain. Jadi langkah ke Putrajaya mereka ibarat angan-angan Mat Jenin sajalah," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Pada Sabtu, Sinar Harian melaporkan spekulasi lebih 10 ahli Parlimen blok kerajaan bakal beralih sokongan terhadap Perikatan Nasional (PN) untuk membentuk kerajaan baharu sebenarnya adalah lebih kuat dan realistik berbanding ura-ura tambahan ahli Parlimen PN bakal berpaling tadah daripada blok pembangkang itu.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, spekulasi itu bukan sekadar cakap kosong susulan beliau dimaklumkan terdapat perbincangan secara dalaman dalam kalangan pucuk pimpinan tertinggi berkenaan perkara itu.

Terbaharu, Ahli Parlimen Bukit Gantang Syed Abu Hussin menjadi wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) kelima daripada Bersatu yang menyatakan sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri selepas Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).