B40, OKU diberi peluang tonton tayangan percuma

Antara peserta yang terdiri daripada ahli KRT pelbagai peringkat umur dan berbilang kaum.
Antara peserta yang terdiri daripada ahli KRT pelbagai peringkat umur dan berbilang kaum.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Tidak hanya bergantung kepada bantuan barangan keperluan harian dan wang ringgit semata-mata, malah pelbagai cara dan bentuk sumbangan boleh dilakukan bagi membantu golongan sasar.

Pengurus Kompleks Central Square, Loong Jee Yung berkata, susulan itu, pihaknya menganjurkan tayangan percuma sebagai langkah melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dalam usaha menggembirakan golongan berpendapatan rendah (B40) dan orang kurang upaya (OKU).

Menurutnya, peningkatan taraf hidup dan harga barang yang semakin meningkat dikhuatiri boleh mengakibatkan tekanan atau kesan berpanjangan terhadap golongan B40.

Suria (dua kiri) bersama kakitangan Pejabat Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Daerah Kuala Muda dan Central Square.
Suria (dua kiri) bersama kakitangan Pejabat Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Daerah Kuala Muda dan Central Square.

"Atas dasar itu, kami rasa terpanggil untuk tampilkan mereka yang terpilih untuk sama-sama meraikan dengan cara berbeza, kita beri mereka tonton tayangan dan makanan ringan percuma.

"Biarpun sumbangan ini nampak kecil namun diharapkan dapat memberi impak yang besar selain beri peluang untuk menceriakan mereka," katanya.

Sementara itu, Pegawai Perpaduan Daerah Kuala Muda, Suria Baharum berkata, kira-kira 60 peserta terpilih adalah dari kalangan ahli Kawasan Rukun Tetangga (KRT) pelbagai kaum dan peringkat umur bertujuan memberi pengalaman berbeza.

Artikel Berkaitan:

Peserta yang diraikan turut diberikan makanan ringan secara percuma.
Peserta yang diraikan turut diberikan makanan ringan secara percuma.

"Melalui pendekatan ini tidak hanya mampu memenuhi tuntutan program semata-mata malah dapat memupuk hubungan persaudaraan antara satu sama lain, meraikan perpaduan dan berbilang kaum di Malaysia.

"Inisiatif ini amat dipuji kerana selalunya kita melihat B40 dan OKU disantuni dengan sumbangan barangan atau wang ringgit namun kali ini dengan cara yang berbeza," katanya.