King Sing minta Sanusi jaga mulut kalau nak pelancong datang Kedah

Sanusi (kiri), King Sing
Sanusi (kiri), King Sing
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing meminta Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor untuk menjaga percakapan jika mahu lebih ramai pelancong melawat negeri berkenaan.

Beliau turut mengingatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu agar menjaga sikap supaya tidak menjejaskan pembangunan pelancongan dengan komen yang menyinggung perasaan.

“Kalau dia (Muhammad Sanusi) masih mahu bermain sentimen politik, ia tak penting bagi saya, tapi kalau dia serius mahu sasarkan kemasukan pelancong yang tinggi ke Kedah, lebih baik dia jaga mulut.

"Keadaan akan jadi huru-hara dan ia tidak bagus untuk pembangunan pelancongan,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat bersama kerajaan Melaka bagi penganjuran program mega World Tourism Day (WTD) dan World Tourism Conference (WTC) 2025 di Putrajaya pada Isnin.

Perang mulut antara dua ahli Parlimen terbabit berlarutan susulan pada minggu lalu, Muhammad Sanusi ketika berbahas pada sidang Dewan Undangan Negeri Kedah tanpa semena-mena mengejek fizikal King Sing seperti dewa perut boroi bagi penganut bukan Muslim.

Difahamkan, Pengerusi Perikatan Nasional Kedah itu berang dengan Ahli Parlimen Bintulu itu yang kononnya tidak mempromosikan pelancongan di negeri pentadbirannya dan gagal memberikan maklum balas setelah bertemu wakil kerajaan Thailand bulan lalu.

Dalam pada itu, King Sing turut mendesak permohonan maaf daripada Muhammad Sanusi dan meminta supaya segala komen berbaur hinaan terhadapnya ditarik semula.

Artikel Berkaitan: