Chelsea berjaya pamer wajah berbeza

Enzo Fernadez (kanan) meraikan jaringannya ketika menentang Brighton. - Foto: AFP
Enzo Fernadez (kanan) meraikan jaringannya ketika menentang Brighton. - Foto: AFP
A
A
A

PENGENDALI Chelsea, Mauricio Pochettino gembira melihat pasukannya bangkit daripada kekalahan memalukan kepada Newcastle dengan menewaskan Brighton 3-2 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Ahad.

The Blues mendahului dua gol pada minit ke-21 menerusi jaringan Enzo Fernandez dan Levi Colwill sebelum Facundo Buonanotte merapatkan kedudukan untuk Brightin sebelum separuh masa pertama.

Chelsea terpaksa bermain pada separuh masa kedua dengan sepuluh pemain selepas Conor Gallagher dibuang padang pada minit ke-45 tetapi gol kedua Fernandez dari sepakan penalti memastikan kemenangan untuk pasukan itu.

Joao Pedro menjaringkan gol kedua Brighton tetapi Chelsea bertahan dengan baik untuk memberikan Pochettino tonik yang sempurna berikutan kekalahan 4-1 kepada Newcastle hujung minggu lalu.

“Gila. Ia adalah liga yang paling kompetitif. Kami bermula dengan baik, kami bermain dengan baik 11 pemain lawan 11 pemain. Namun, babak kedua rumit dengan kami kekurangan seorang pemain.

“Brighton adalah pasukan yang sangat bagus dan bermain dengan baik. Kami terpaksa pergi jauh tetapi kami menjaringkan gol ketiga dengan kurang seorang pemain.

“Pasukan sudah letih, kami semua letih tetapi secara keseluruhannya gembira. Selepas Newcastle, kami perlu menunjukkan wajah yang berbeza. Itulah sebabnya saya gembira," kata Pochettino.

Artikel Berkaitan: