Karangkraf kenalkan 10 penulis hebat di SIBF 2023

Elly bersama buku karyanya 'Rezeki Detik Terakhir' di Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2023.
Elly bersama buku karyanya 'Rezeki Detik Terakhir' di Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2023.
A
A
A

SHAH ALAM - Grup Buku Karangkraf memperkenalkan 10 penulis hebat yang berbeza genre dalam empat sesi temu mesra bersama peminat sepanjang berlangsungnya Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2023 (SIBF 2023).

Salah seorang penulis, Elly Jalil berkata, Rezeki Detik Terakhir merupakan karya yang menceritakan fasa jatuh bangun sebagai seorang usahawan suatu ketika dahulu dan cara menghadapi setiap ujian daripada ALLAH SWT.

Menurut beliau, perkara yang menjadi titik tolak dalam kehidupannya apabila diduga dengan krisis kewangan ketika berada dalam dunia perniagaan peruncitan sehinggakan tidak mampu membayar gaji pekerjanya.

“Saya pernah ada stokis butik pakaian dan ada banyak cawangan serta pekerja yang ramai. Pernah terjadi musibah banjir besar di Perak menyebabkan stok barang musnah.

“Dalam masa sama, pada ketika itu saya merupakan seorang pelajar sarjana sepenuh masa, dua perkara berlaku serentak, jadi nak hadapinya memang agak sukar.

“Namun, apa yang saya mahu tekankan dalam buku ini, kita semua ada Dia dan mengadulah kepada-Nya,” kata Elly kepada Sinar Harian ketika sesi temu mesra di SIBF 2023 di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada Ahad.

Reruai Grup Buku Karangkraf di SIBF 2023 yang berlangsung di Pusat Konvensyen MBSA.
Reruai Grup Buku Karangkraf di SIBF 2023 yang berlangsung di Pusat Konvensyen MBSA.

Penulis lain yang turut terlibat dalam sesi temu mesra sepanjang 10 hari pesta buku diadakan ialah Noorshahira Ghazali (Kitab Wanita Syurga); Aini Bakar (K-Lit:Koyak); Muhaymin Wahab (K-Lit: Skuad Taring Nusa) dan Nurul Syahida (Petrichor).

Artikel Berkaitan:

Selain itu, Dr Hafidzi Mohd Noor (Palestin - Kemenangan Yang Dekat); Dr Alizi Alias (Healing The Invisible Wound); Wan Nur Syakira (Berbual-bual Dengan Anak Tentang Seksualiti); Zharulnizam ZA (Runcing II) dan Afyan Mat Rawi (Poket Kian Pokai? Poket Kena Penuh!).

Ditanya mengenai perkembangan promosi Karangkraf pada hari ketiga SIBF 2023, Eksekutif Pemasaran Digital GBK, Nurul Farehah Mohd Lokman memaklumkan, pihaknya tidak menang tangan apabila menerima sambutan menggalakkan daripada penggemar novel K-Lit yang dilancarkan minggu lalu.

Tambah beliau, antara yang turut laris dijual adalah naskhah al-Quran terbitan Karya Bestari sehinggakan staf kerap menambah stok berulang kali bagi memenuhi permintaan pembeli.

“Saya harap dengan berbaki tujuh hari, lebih ramai lagi yang akan hadir memeriahkan pesta buku ini dan dapatkan buku-buku daripada Karangkraf dengan potongan harga sebanyak 15 peratus,” ujarnya.