Tiada ancaman pak belang di Selangor

Pemasangan perangkap kamera antara kaedah digunakan Perhilitan Selangor dalam memantau kehadiran Pak Belang.
Pemasangan perangkap kamera antara kaedah digunakan Perhilitan Selangor dalam memantau kehadiran Pak Belang.
A
A
A

SHAH ALAM - Tiada sebarang laporan mengenai ancaman melibatkan Harimau Malaya atau nama saintifiknya Panthera Tigris Jacksoni di Selangor, tahun ini.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor, Wan Mohd Adib Wan Mohd Yusoh berkata, bagaimanapun kehadiran binatang berkenaan pernah dilaporkan sekitar Ogos lalu.

"Laporan berkenaan dibuat oleh orang awam di kawasan hutan Hulu Selangor namun ia tidak menimbulkan sebarang ancaman kepada penduduk sekitar setakat ini.

"Perhilitan turut memasang perangkap kamera di lokasi yang dilaporkan itu," katanya pada Ahad.

Beliau berkata, walapun tiada ancaman direkodkan namun pemantauan sentiasa dijalankan di lokasi berkenaan.

Tambahnya, tiada sebarang tangkapan melibatkan harimau ini di Selangor, namun Perhilitan Selangor sentiasa menjalankan rondaan di kawasan sekitar hutan Hulu Selangor bagi memastikan ia tidak memberi gangguan kepada penduduk berhampiran.

Pemantauan sentiasa dijalankan kakitangan Perhilitan Selangor bagi mengesan kehadiran Harimau Malaya di lokasi sekitar hutan Hulu Selangor.
Pemantauan sentiasa dijalankan kakitangan Perhilitan Selangor bagi mengesan kehadiran Harimau Malaya di lokasi sekitar hutan Hulu Selangor.

Menurut beliau, kehadiran Harimau Malaya atau harimau belang ini berpunca daripada pembangunan guna tanah yang tidak seimbang mengakibatkan habitatnya terjejas selain gangguan ekosistem.

Artikel Berkaitan:

"Hutan terpisah daripada hutan-hutan besar menyebabkan spesies ini sukar untuk bergerak ke habitat yang lain untuk membiak dan mencari makanan atau mencari kawasan tempat tinggal baharu.

"Keadaan ini juga akan menyebabkan Harimau Malaya terkeluar daripada habitat asal dan memasuki ke penempatan manusia," katanya.

"Harimau Malaya berpotensi membunuh haiwan ternakan, menakutkan penduduk serta menyebabkan kecederaan atau kematian manusia," katanya.

Wan Mohd Adib berkata, orang awam dinasihatkan supaya sentiasa mengambil langkah keselamatan sekiranya mengesan kehadiran harimau.

Pemasangan perangkap kamera antara kaedah digunakan Perhilitan Selangor dalam memantau kehadiran Pak Belang.
Pemasangan perangkap kamera antara kaedah digunakan Perhilitan Selangor dalam memantau kehadiran Pak Belang.

"Segera menjarakkan diri dan beredar dari kawasan tersebut serta merta sekiranya menyedari kehadiran Harimau Malaya atau spesis harimau yang lain seperti Harimau Kumbang atau Harimau Dahan.

"Elakkan memasuki ke kawasan hutan bersendirian dan sekiranya bertembung dengan spesies harimau dilarang untuk membuat tindakan yang boleh menyebabkan hidupan liar itu merasa terancam dan berisiko untuk menyerang manusia," katanya.

Tambah beliau, orang awam turut diingatkan agar tidak mengambil tindakan sendiri sekiranya mengesan kehadiran binatang liar ini.

"Segera hubungi pihak Jabatan Perhilitan menerusi talian hotline 1800-88-5151 sekiranya terserempak dengan kehadiran sebarang spesies hidupan liar lain," katanya.

Rabu lalu, seorang lelaki warga asing maut dibaham harimau sebelum mayatnya ditemui dalam mengerikan di kawasan ladang getah Kampung Kuala Tol, Kelantan.

Perhilitan sebelum ini turut melaporkan sebanyak enam kes kematian dan satu kecederaan direkodkan dalam tempoh tiga tahun akibat serangan harimau belang di negeri berkenaan.