12 masih hilang banjir kilat di Sumatera Utara

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

JAKARTA - Banjir kilat melanda kampung Simangulampe, mukim Baktiraja pada Jumaat menyebabkan sekurang-kurangnya 12 orang hilang dan seorang cedera parah.

Menurut Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), banjir yang berlaku kira-kira pukul 9 malam (waktu tempatan) itu turut menyebabkan hampir 50 keluarga terpaksa dipindahkan.

Banjir kilat di daerah Humbang Hasundutan itu dicetuskan oleh hujan lebat yang berterusan.

Jurucakap BNPB Abdul Muhari dalam satu kenyataan berkata 12 buah rumah, tempat ibadat, sebuah sekolah dan kira-kira lima hektar tanah pertanian terjejas teruk dan ditenggelami air.

Pihak agensi tempatan telah menyediakan tempat perlindungan sementara dan menjalankan misi mencari dan menyelamat dengan menggunakan ekskavator untuk mengalihkan bongkah batu serta menjalankan kerja-kerja pembersihan.

"Penduduk di sepanjang sungai dan tebing dinasihatkan agar berpindah ke tempat selamat buat sementara waktu jika hujan lebat berterusan lebih dari sejam," katanya.

Agensi meteorologi Indonesia BMKG mengeluarkan amaran cuaca untuk daerah Humbang Hasundutan dan meramalkan hujan sederhana hingga lebat disertai petir dan angin kencang sehingga Isnin. - Bernama

Artikel Berkaitan: