Pelancong guna eNTRI tetap tertakluk peraturan sedia ada

Pelaksanaan eNTRI bagi pelancong China tetap tertakluk kepada peraturan, prosedur dan kawalan imigresen sedia ada di semua pintu masuk negara.
Pelaksanaan eNTRI bagi pelancong China tetap tertakluk kepada peraturan, prosedur dan kawalan imigresen sedia ada di semua pintu masuk negara.
A
A
A

PUTRAJAYA - Pelaksanaan Electronic Travel Registration and Information (eNTRI) bagi pelawat dari Republik Rakyat China (RRC) yang berkuat kuasa pada 1 Januari hingga 31 Disember 2020 tetap tertakluk kepada peraturan, prosedur dan kawalan imigresen sedia ada di semua pintu masuk negara.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam satu kenyataan berkata, objektif utama inisiatif itu dilaksanakan adalah untuk mengukuhkan industri pelancongan dengan memberi kemudahan tanpa visa kepada pelancong yang ingin melawat Malaysia.

Menurutnya, kemasukan tanpa visa melalui eNTRI adalah satu penambahbaikan ke atas mekanisme secara Visa On Travel (VOA) dengan elemen keselamatan menjadi sebahagian daripada proses pelaksanaan tersebut dan dikawal sepenuhnya oleh Jabatan Imigresen Malaysia.

"Walaupun kerajaan telah memberikan kemudahan pengecualian visa kepada warganegara China dan India, namun pelancong dari kedua-dua negara berkenaan perlu melengkapkan pendaftaran maklumat melalui sistem eNTRI sebagai salah satu langkah kawalan oleh kerajaan melalui imigresen yang akan membuat pemantauan dan verifikasi ke atas pelancong yang menggunakan kemudahan tanpa visa ini.

"Selain itu, pelancong juga dikenakan syarat supaya permohonan semula melalui eNTRI hanya boleh dilaksanakan selepas 45 hari dari tarikh pelancong tersebut keluar dari Malaysia," kata kenyataan tersebut hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan kementerian berkenaan susulan terdapat cubaan pihak tertentu yang mengaitkan kemudahan pengecualian visa tersebut dengan isu pelancong China yang tinggal lebih masa di negara ini.

Menurutnya, Notis Penolakan Masuk boleh dikeluarkan sekiranya pelancong tersenarai di dalam senarai hitam atau senarai syak imigresen atau tergolong dalam kategori imigran larangan yang memohon eNTRI tersebut.

Sementara itu, mengulas lanjut, KDN menegaskan bahawa imigresen sebagai sebuah agensi di bawah kementeriannya sentiasa menjalankan operasi untuk membanteras pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk pelancong yang berada di negara ini melebihi tempoh masa yang dibenarkan.

Artikel Berkaitan:

"Tindakan tegas diambil terhadap warganegara asing yang didapati melanggar undang-undang imigresen dengan cara menangkap, mendakwa di mahkamah dan mengusir mereka ke negara asal," katanya.

Jelasnya, KDN dan imigresen akan sentiasa memastikan keselamatan negara sebagai keutamaan dan tidak akan berkompromi dalam perkara-perkara yang boleh menjejaskan keselamatan dan ketenteraman negara.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan pengecualian visa kepada pelancong China dan India berkuat kuasa 1 Januari hingga 31 Disember 2020.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelancong China, India dikecuali visa mulai 1 Januari