Sungai Belihoi bebas pencemaran kimia

Veerapan
Veerapan
A
A
A

SEREMBAN - Keadaan air Sungai Belihoi, Mantin sudah kembali normal dan bebas daripada sebarang pencemaran kimia.

Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan, S Veerapan berkata, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan sudah melakukan penilaian dan mendapati air sungai kini normal.

Menurutnya, kerja-kerja pembersihan longgokkan sisa bahan kimia yang dibuang di tepi jalan utama Mantin-Seremban itu sudah selesai dan dilupuskan di Pusat Kualiti Alam, Sendayan.

"Air Sungai Belihoi sudah kembali normal, sampel air yang tercemar sudah dihantar ke makmal kimia dan kita sedang menunggu keputusan itu dalam tempoh dua minggu lagi.

"Bagaimanapun JAS dan agensi kerajaan lain akan terus memantau kawasan sekeliling bagi memastikan tiada lagi pencemaran berlaku," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, JAS kini sedang giat mengesan pihak bertanggungjawab yang melakukan pembuangan bahan kimia secara haram di negeri ini untuk dikenakan tindakan undang-undang.

Terdahulu, perkampungan Belihoi Mantin mengalami pencemaran bau kimia dan Sungai Belihoi juga dilaporkan tercemar akibat pembuangan bahan sisa kimia.

Hasil siasatan yang dilakukan, sisa buangan ini didapati dalam bentuk enap cemar dan berbau toksik yang mana aliran buangan sisa kimia tersebut turun melalui cerun dan akhirnya masuk ke Sungai Belihoi.

Artikel Berkaitan:

Kes disiasat mengikut Seksyen 34B(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. Jika didapati bersalah boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun mandatori, dan denda RM500,000.

Kejadian pencemaran ini adalah kali kedua, selepas berlaku pencemaran Sungai Anak Air Garam di Desa Rasah pada 10 Disember lalu.