Enggan serah hak milik rumah, lelaki cederakan ibu angkat

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SEREMBAN - Polis menahan seorang lelaki di Selangor pada Rabu kerana didakwa mencederakan mata kiri ibu angkatnya selepas berlaku selisih faham dalam kejadian pada 11 November lalu.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, wanita berusia 67 tahun yang merupakan pesara itu membuat laporan polis pada Selasa lepas, berhubung kejadian itu.

Menurutnya, lelaki berusia 25 tahun itu merupakan anak angkat wanita tersebut yang dibelanya sejak berumur 10 hari.

"Kejadian berlaku pada jam 1 tengah hari di rumah pengadu di Taman Seremban Jaya Idaman di sini. Selisih faham terjadi apabila suspek mendesak hak milik rumah pengadu dipindahkan kepada anak suspek.

"Suspek tiba-tiba membaling sesuatu ke arah pengadu sehingga menyebabkan mata kirinya (pengadu) cedera dan mendapat rawatan di Hospital Tuanku Jaafar Seremban selama 14 hari," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Ujarnya, suspek juga telah mengambil kenderaan jenis Honda Civic milik pengadu untuk kegunaannya.

"Berikutan itu hasil risikan dan maklumat awam, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban telah menangkap suspek di Taman BBS, Gombak, Selangor pada jam 1.50 tengah hari, Rabu.

"Semakan rekod mendapati suspek mempunyai tiga rekod lampau iaitu dua kes dadah dan satu jenayah.

Artikel Berkaitan:

"Kes seterusnya disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan direman selama empat hari bagi melengkapkan siasatan," katanya.